Pembelian Saham Wajaran Tinggi Pacu Lonjakan Bursa Malaysia

Indeks petunjuk pasaran dibuka meningkat 5.16 mata kepada 1,715.55 dan bergerak antara 1,714.41 dan 1,723.51 pada sesi 23 April 2026.
KUALA LUMPUR, 23 Apr – Bursa Malaysia ditutup tinggi hari ini, dipacu oleh pembelian terpilih dalam saham wajaran tinggi perbankan dan telekomunikasi, dalam persekitaran sentimen yang semakin baik berikutan perlanjutan gencatan senjata di Asia Barat.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 11.31 mata atau 0.66 peratus kepada 1,721.70 daripada 1,710.39 semasa ditutup pada Rabu.
Indeks petunjuk pasaran dibuka meningkat 5.16 mata kepada 1,715.55 dan bergerak antara 1,714.41 dan 1,723.51 pada sesi hari ini.

Dalam pasaran lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 706 berbanding 485 manakala 562 kaunter tidak berubah, 1,018 tidak diniagakan dan 43 yang lain digantung dagangan.
Jumlah dagangan meningkat kepada 3.48 bilion unit bernilai RM3.10 bilion daripada 3.19 bilion unit bernilai RM2.69 bilion pada Rabu.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata FBM KLCI ditutup tinggi, disokong oleh minat belian yang berdaya tahan dalam saham mewah terpilih dan kestabilan indeks yang lebih baik.
“Walaupun ketidakpastian luaran masih berlarutan, pasaran tempatan telah menunjukkan isyarat sokongan asas, dengan aktiviti belian semasa harga rendah berlaku ketika harga saham menyusut.
“Pelabur dijangka menumpukan kepada sektor berdaya tahan dan mempunyai asas kukuh sambil mengekalkan pendirian berwaspada terhadap pelaburan yang lebih berisiko,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, beliau berkata, pasaran serantau utama kebanyakannya ditutup rendah apabila pelabur mengambil pendekatan tunggu dan lihat dalam persekitaran konflik Asia Barat yang memuncak meskipun gencatan senjata telah dilanjutkan.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank tidak berubah pada RM11.22, Public Bank dan Tenaga Nasional masing-masing menambah lapan sen kepada RM4.84 dan RM14.60, CIMB Group meningkat empat sen kepada RM7.78, IHH Healthcare naik empat sen kepada RM8.85, Telekom Malaysia menokok sembilan sen kepada RM7.09 dan Axiata Group naik tiga sen kepada RM2.28.
Bagi saham paling aktif, Zetrix AI meningkat setengah sen kepada 86.5 sen, AMS Advanced Material yang mula disenaraikan di Pasaran ACE meningkat 1.5 sen kepada 30.5 sen, Velesto Energy susut satu sen kepada 32 sen, AirAsia X menyusut tujuh sen kepada RM1.23 dan Bumi Armada meningkat tiga sen kepada 41.5 sen. – Bernama
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


