Pemanjangan Isu Stoking Kalimah Allah Larikan Fokus Kemajuan Negara – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah-mesra bersama orang ramai ketika menghadiri Majlis Berbuka Puasa MADANI 2024 Bersama Perdana Menteri di Kolej Polytech MARA, Meru hari ini. Foto Facebook Anwar Ibrahim
IPOH, 25 Mac – Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta semua pihak supaya tidak lagi memanjangkan isu berhubung jualan stoking tertera kalimah Allah di sebuah rangkaian kedai serbaneka, termasuk melalui gerakan memulaukan atau boikot rangkaian kedai itu.
Perdana Menteri berkata, pemanjangan isu sedemikian yang termasuk dalam soal perbezaan pendapat dan menimbulkan permusuhan tidak perlu diperbesarkan oleh mereka yang bukan ahlinya, seterusnya melarikan fokus untuk negara bersaing sengit dan bergerak maju ke hadapan.
“Dalam soal perbezaan pendapat, timbul permusuhan, tak perlu saudara-saudara (memperbesarkan). Kalau kes stoking, saya sudah beritahu supaya siasat dan kalau betul bersalah maka tahan, dakwa dan kita ‘tutup buku’, maju terus.
“Janganlah sampai berminggu-minggu semua hendak jadi pahlawan, (sampaikan) kerja tak jalan, perbicaraan soal digital tiada, negara tidak maju (kerana) asyik bergaduh berminggu-minggu mengenai satu tajuk iaitu (isu) stoking. Habis (isu) stoking, kantin.

“Bukan maksud saya hendak remehkan (isu stoking) kerana tidak boleh sama sekali sesiapa menghina agama, apatah lagi Islam sebagai agama (rasmi) Persekutuan. Dan kalau ini berlaku saya sudah beritahu (supaya) tangkap, dakwa dan hakim akan memutuskannya.
“Tetapi negara tidak boleh diheret, jangan disalahkan semua orang, dengan dipulaukan (boikot) semua kedai. Yang siasat itu polis, yang akan mendakwa itu Jabatan Peguam Negara dan yang akan menghukum itu mahkamah. Jangan kita jadi penyiasat, kita jadi pendakwa dan kita pula jadi penghukum,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Madani 2024 di Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) Ipoh, Meru, di sini, malam ini.
Yang turut hadir, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Aaron Ago Dagang; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.
Anwar berkata, tokoh ilmuan Islam, Hassan Al-Hudaibi wajar dicontohi dalam mendepani isu berkaitan pergeseran sedemikian secara berhikmah iaitu dengan menyerahkan peranan menuduh dan menjatuhkan hukum kepada ahlinya iaitu pendakwa dan qadi atau hakim.
“Dalam dakwah sendiri, tugas itu diminta dengan menyampaikannya secara berhikmah. Sebab itu bila ada pergeseran di Mesir dahulu, timbul seorang tokoh Islam iaitu Hassan Al-Hudaibi dengan ungkapannya seperti kita semua adalah pendakwah dan bukan yang menghukum atau qadi.
“Yang menghukum itu qadi dalam jalur hukum tertentu seperti dengan dipanggil pihak yang membuat tuduhan, saksi dan yang dituduh untuk pertahankan dirinya selain kena lihat hujah dan faktanya sebelum hakim membuat keputusan.
“Masalah di negara kita adalah bila baca atau lihat dan dengar dalam TikTok, maka terus menghukum. Kita ini pendakwah, bukan qadi yang nak hukum. Janganlah pula baru belajar Islam atau masuk dalam parti atau gerakan persatuan tiga minggu terus orang (itu) ini hendak dikafir dan disesatkan kerana tidak ‘Islamik’.
“Dunia sedang bersaing sengit untuk meningkatkan penguasaan dalam bidang kecerdasan buatan (AI), digital, soal tenaga. Dan kita masih bergelut dalam soal-soal perbezaan pendapat, timbul permusuhan,” katanya.
Pada 13 Mac lalu, tular di media sosial isu stoking tertera kalimah Allah dijual di KK Mart Bandar Sunway, selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.
Pada 16 Mac lalu, KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) memohon maaf berhubung penjualan stoking berjenama Miranosock tertera kalimah Allah di beberapa cawangan kedai serbaneka itu.
Bagaimanapun, Pemuda UMNO memberi tempoh dua hari kepada pengurusan KK Super Mart untuk memasang kain rentang di semua 881 cawangan kedai serbaneka itu di seluruh negara bagi memohon maaf atas penjualan stoking tertera kalimah Allah.
Sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim murka serta menzahirkan perasaan dukacita berhubung isu penjualan stoking yang tertera kalimah Allah di rangkaian kedai serbaneka.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
