Pelantikan Ketua Hakim Negara Tertakluk Kepada Tatacara Di Bawah Perlembagaan – AGC

Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan, dakwaan berlaku terdapat kelewatan dalam proses pelantikan dan kegagalan mengambil tindakan terhadap pencalonan terdahulu, perlu dilihat dari sudut peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

PUTRAJAYA, 8 Jul – Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan, tempoh dan proses memuktamadkan pelantikan khususnya jawatan seperti Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan, tertakluk kepada tatacara yang ditetapkan di bawah Perlembagaan.

AGC memaklumkan, dakwaan berlaku terdapat kelewatan dalam proses pelantikan dan kegagalan mengambil tindakan terhadap pencalonan terdahulu, perlu dilihat dari sudut peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Jelasnya, Perdana Menteri tidak boleh dianggap sekadar ‘konduit’ yang menerima syor daripada mana-mana pihak, sebaliknya mempunyai tanggungjawab di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi maksud melindungi kebebasan, kredibiliti dan integriti badan kehakiman.

Kenyataan media Jabatan Peguam Negara (AGC) berkenaan prosedur dan tempoh pelantikan hakim termasuk Ketua Hakim Negara yang tertakluk di bawah Perlembagaan Persekutuan pada 8 Julai 2025. Foto AGC

“Jabatan ini dimaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong sudah memperkenan pelantikan beberapa hakim Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan pada bulan lalu dan pelantikan terbabit masih perlu melalui beberapa formaliti.

“Justeru, pelantikan sedemikian wajar dilakukan dengan tertib dan teratur,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mengenai tuduhan seorang hakim Mahkamah Persekutuan terbabit dalam mempengaruhi keputusan mahkamah serta penugasan semula hakim, AGC berkata ia adalah dakwaan yang serius.

Bagaimanapun, pertimbangan dalam mesyuarat JAC adalah berstatus rahsia serta dilindungi undang-undang dan tuduhan terbabit tidak boleh disamakan dengan salah laku yang dibuktikan atau menjejaskan kebebasan kehakiman dan ia kekal sebagai dakwaan pramatang serta bersifat spekulatif semata-mata.

AGC berkata, Parlimen sentiasa boleh meneliti hal tatakelola institusi melalui penubuhan jawatankuasa di bawahnya, namun hal pelantikan di bawah Perlembagaan Persekutuan hendaklah ditangani secara cermat supaya penjalanan kuasa oleh Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri tidak dijadikan polemik politik.

“Perbandingan dengan kes VK Lingam pada 2007 adalah perkara yang tidak wajar pada peringkat ini. Kes itu membabitkan keterangan yang jelas mengenai campur tangan dalam proses pelantikan hakim sehingga Suruhanjaya Siasatan ditubuhkan pada ketika itu.

“Keadaan terbabit berbeza dengan senario semasa yang mana tuduhan atau dakwaan hanya bersandarkan ketidakaturan dari aspek prosedur dan anggapan yang tidak disokong oleh bukti yang kukuh,” katanya.

AGC berkata, Parlimen sentiasa boleh meneliti hal tatakelola institusi melalui penubuhan jawatankuasa di bawahnya, namun hal pelantikan di bawah Perlembagaan Persekutuan hendaklah ditangani secara cermat supaya penjalanan kuasa oleh Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri tidak dijadikan polemik politik.

Tegasnya, kedua-dua institusi itu hendaklah menjalankan kuasa secara bebas sebagaimana yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Situasi pada masa ini hendaklah diawasi dan diharap tiada pihak yang akan bertindak terburu-buru. Percanggahan tempoh masa atau prosedur dalam hal pelantikan tidak semestinya merupakan suatu krisis perlembagaan.

“Sistem pelantikan hendaklah dilaksanakan melalui prosedur yang sah, menghormati peranan institusi dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *