Pelan Pemodenan ATM Kini Jadi Keutamaan?

Adalah wajar titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dihayati dan dilaksanakan melibatkan perolehan ketenteraan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) supaya insiden ‘keranda terbang’ tidak berulang lagi. Foto Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

PENDAPAT, 22 Ogos – Kita merasa amat sedih setiap kali insiden kemalangan melibatkan aset ketenteraan milik cabang-cabang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terpampang di pelantar media sosial seolah-olah ia tidak akan berkesudahan.

Oleh itu, bagi mengurangkan impak dan risiko berlaku kemalangan melibatkan aspek teknikal dan nyawa terhadap aset ketenteraan negara, sudah sampai masanya pelan pemodenan cabang-cabang dalam ATM wajar disegerakan bagi memastikan tahap kesiapsiagaan dan keselamatan negara sentiasa berada pada tahap optimum.

Ini juga ada kaitan dengan perkembangan geopolitik serantau dan global yang semakin kompleks menuntut ATM dilengkapi dengan aset terkini, teknologi canggih serta strategi pertahanan menyeluruh bagi menghadapi ancaman konvensional mahupun bukan konvensional.

Dua anggota TUDM dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan bagi menerima rawatan susulan kemalangan pesawat pejuang F/A-18D Hornet milik TUDM pada 21 Ogos 2025.

Bagi cabang Tentera Darat, keperluan memperbaharui peralatan tempur, kenderaan perisai dan sistem komunikasi medan tempur amat penting agar operasi darat dapat dijalankan dengan lebih efektif terutama di perbatasan kritikal negara seperti di Thailand dan Kalimantan, Indonesia.

Kita juga mahu melihat pemodenan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) merangkumi kapal perang moden, kapal selam serta sistem radar terkini bagi mempertahankan perairan strategik negara, khususnya di Laut China Selatan yang kini menjadi tumpuan geopolitik antarabangsa seperti pertikaian di Kepulauan Spratly.

Manakala Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) wajar diperkasa dengan pesawat pejuang versi tempur generasi baharu, dron pengawasan berkeupayaan tinggi dan sistem pertahanan udara moden termasuk sistem radar canggih bagi mengawal zon penerbangan di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) terutama di Laut China Selatan.

Pesawat pejuang tempur generasi baharu mampu mengatasi isu pencerobohan ruang udara negara walaupun belanjawan mungkin memperuntukkan sejumlah besar dana bagi tahun-tahun mendatang.

Kesemua syor dan cadangan ini bukan sahaja memastikan ruang udara negara terpelihara, malah memperkukuh peranan TUDM dalam operasi bersama setiap kali juga ada latihan melibatkan tentera luar negara seperti Australia, United Kingdom atau Amerika Syarikat.

Selain pemodenan aset fizikal, pelaburan dalam bidang pemodenan sistem keselamatan siber dan peperangan elektronik perlu diberi penekanan kerana ancaman ruang siber semakin meningkat.

Pakar terlatih terdiri daripada anggota tentera sendiri diperkasa melalui latihan intensif serta kerjasama dengan negara sahabat bagi berkongsi maklumat terkini ancaman atau perlindungan yang perlu.

Walaupun Belanjawan 2025 menumpukan penyusunan terhadap kebajikan dan insentif kepada anggota, pemodenan ATM bukan sekadar keperluan, tetapi keutamaan demi menjamin kedaulatan negara serta keselamatan rakyat Malaysia.

Kapal tempur pesisir (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) amat penting dalam menjaga keselamatan perairan negara dari diceroboh pendatang asing dan musuh termasuk ancaman pengganas di Asia Tenggara. Foto TLDM

Semuanya dilakukan bagi menghadapi cabaran semasa selain melindungi khazanah milik negara dari diceroboh musuh negara yang sentiasa mengintai untuk merobek kedaulatan negara.

Titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim amat wajar dihayati serta dilaksanakan bagi mengelakkan insiden ‘keranda terbang’ sebelum ini berulang lagi.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *