Pegawai Pemeriksa Kantoi Curi Dan Telan Duit Penumpang

Pegawai pemeriksa di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino ditahan kerana disyaki mencuri dan menelan wang milik penumpang. Foto The Manila Times

MANILA, 29 Sep – Seorang pegawai pemeriksaan di lapangan terbang Filipina yang menelan wang tunai AS$300, dicuri daripada seorang penumpang warga China dan dirakam kamera litar tertutup, (CCTV) digantung daripada tugas.

Pegawai wanita itu telah diletakkan bawah ‘penggantungan pencegahan’ bersama dua rakan sekerjanya yang dipercayai bersubahat, menurut pegawai penyiasat.

Empat belas lagi pekerja yang bertugas di kawasan pemeriksaan pada hari kejadian turut akan disiasat.

Timbalan Setiausaha Pejabat Keselamatan Pengangkutan (OTS) Mao Aplasca berkata pegawai wanita itu telah menafikan tuduhan yang dikenakan terhadapnya, mendakwa dia cuma makan coklat dan bukan wang kertas.

Pegawai pemeriksa di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino ditahan kerana disyaki mencuri dan menelan wang milik penumpang. Foto The Manila Times

Jelas Aplasca, “Itu bukan cara seseorang biasanya makan coklat. Anda tidak bersusah payah untuk menelannya, dan anda tidak memerlukan air untuk membolehkannya ditelan. Itulah sebabnya pasukan penyiasat tidak mempercayai kata-kata pegawai wanita berkenaan”.

Tambahnya, selain pegawai wanita itu, penyelia dan seorang lagi pegawai pemeriksaan kini sedang berdepan pertuduhan pentadbiran kerana salah laku berat.

Sementara itu, OTS berkata mereka juga sedang mencari jalan untuk memfailkan tuduhan jenayah, walaupun pengadu sudah meninggalkan negara itu.

Pegawai wanita itu yang namanya tidak didedahkan telah dikenal pasti oleh polis lapangan terbang apabila seorang penumpang warga China hanya dikenali sebagai ‘Mr. Cai’ melaporkan bahawa wangnya telah dicuri ketika melalui pemeriksaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino di Manila pada 8 September.

Dalam laporan polis, Mr Cai berkata dia telah menyerahkan begnya kepada kakitangan untuk pemeriksaan namun apabila ia dipulangkan, dia mendapati dompetnya telah dibuka dengan beberapa keping wang hilang, mendorongnya untuk bersemuka dengan pegawai wanita itu.

Rakaman itu turut menunjukkan bagaimana pegawai berkenaan tidak mengendahkan penumpang lain yang bertanyakan soalan ketika dia cuba memasukkan ‘objek’ itu ke dalam kerongkongnya menggunakan jari.

Dia kemudian meneguk air yang diserahkan oleh rakan sekerjanya.

Terdahulu pada 24 Februari, seorang lagi pegawai wanita di lapangan terbang yang sama turut digantung tugas kerana didakwa mencuri AS$146 daripada penumpang Thailand di kawasan imbasan.

Hanya seminggu kemudian, seorang lagi pegawai telah ditangkap apabila dia dirakam CCTV mencuri jam tangan daripada seorang pengembara dari China. – REUTERS

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *