Paris 2024: Tang Jie-Ee Wei Kejutkan Pasangan Nombor Dua Dunia

Aksi terakhir Kumpulan D Sukan Olimpik Paris 2024 acara beregu campuran menyaksikan pasangan negara mencipta kejutan apabila menewaskan pasangan nombor dua dunia dari China sebentar tadi. Foto MSN
PARIS, 29 Jul – Kejutan terbesar berlaku hari ini apabila beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menewaskan pasangan nombor dua dunia dari China Huang Dong Ping-Feng Yan Zhe dengan keputusan 17-21, 21-15, 21-16.
Kemenangan besar ini sekali gus memastikan mereka muncul juara Kumpulan D pada saingan Sukan Olimpik Paris 2024 di Porte de La Chapelle Arena di sini sebentar tadi.
Bangkit dari ketinggalan 17-21 pada set pertama, Tang Jie-Ee Wei mempamerkan semangat juang tinggi dengan memberikan aksi konsisten sehingga menjarakkan diri pada kedudukan 19-13 sebelum menamatkan saingan set kedua dengan keputusan 21-15.
Pada awal pusingan penentuan, pasangan China itu memberi saingan hebat, namun beregu negara terus mempamerkan persembahan menakjubkan hingga mendahului 11-9 pada rehat menukar gelanggang sebelum memastikan kemenangan mutlak 21-16 dalam masa 70 minit.
Pada Ahad wira negara membuatkan rakyat Malaysia tidak duduk apabila pasangan Amerika Syarikat Vinson Chiu-Jennie Gai memberi tentangan sengit sebelum akur dengan kehebatan Tang Jie-Ee Wei dengan keputusan 21-15, 24-22.
Pada aksi pembukaan pada Sabtu pasangan nombor sembilan dunia itu menampilkan persembahan terbaik mereka terutama di set kedua apabila mencatat kemenangan 23-21, 21-12 ke atas pasangan Singapura, Terry Hee-Jessica Tan dalam tempoh 43 minit.
Mengikut format pertandingan, juara dan naib juara kumpulan dalam acara beregu layak ke peringkat suku akhir.
Dengan status selaku juara kumpulan, ia akan meletakkan Tang Jie-Ee Wei sebagai pilihan dan boleh mengelak daripada bertemu pasangan utama yang lain apabila undian suku akhir dijalankan selepas tamat semua aksi peringkat kumpulan.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
