Paris 2024: PM Anwar Ucap Tahniah Kejayaan Pearly-Thinaah Mara Ke Separuh Akhir

Ucapan tahniah daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada pasangan beregu wanita negara Pearly Tan-M Thinaah yang mencipta sejarah mara ke separuh akhir Sukan Olimpik Paris 2024. Foto Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 1 Ogos – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Pearly Tan-M Thinaah kerana menjadi beregu badminton wanita pertama negara mara ke separuh akhir Sukan Olimpik.

Menerusi catatan di laman Facebook rasmi beliau, Perdana Menteri turut mendoakan kejayaan beregu ranking ke-12 dunia itu pada temasya Olimpik Paris 2024.

“Alhamdulillah, tahniah buat dua pejuang hebat cetus sejarah menjadi beregu wanita Malaysia pertama layak ke separuh akhir di Olimpik.

Pearly-Thinaah meraikan kejayaan menewaskan So Yeong Kim-Hee Yong Kong. Foto Reuters/Hamad I Mohammed

“Kekal tenang serta fokus dan semoga beroleh kejayaan!” katanya.

Pada aksi suku akhir di Porte de La Chapelle Arena, Pearly-Thinaah menewaskan Kim So Yeong-Kong Hee Yong dari Korea Selatan yang juga pasangan ranking ke-10 dunia dengan keputusan 21-12, 21-13 dalam masa 42 minit.

Pearly-Thinaah akan bertemu beregu nombor satu dunia dari China Chen Qing Chen-Jia Yi Fan pada pusingan separuh akhir nanti.

Pearly-Thinaah meraikan kejayaan menewaskan So Yeong Kim-Hee Yong Kong. Foto Reuters/Hamad I Mohammed

Beregu negara hanya sekali layak ke suku akhir Sukan Olimpik iaitu di Rio 2016 apabila pasangan negara Vivian Hoo-Woon Khe Wei tewas kepada juara acara itu Misaki Matsutomo-Ayaka Takahashi dari Jepun.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *