Paris 2024: Azizulhasni Pecah Rekod Kebangsaan, Layak Ke Pusingan Seterusnya

Azizulhasni (kiri) yang terkenal dengan gelaran The Pocket Rocketman merekodkan catatan masa 9.402 saat, manakala Shah Firdaus pula merekodkan catatan masa 9.635s.

PARIS, 7 Ogos – Dua jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom membuka kempen Sukan Olimpik 2024 dengan langkah kanan apabila melepasi pusingan kelayakan acara pecut.

Azizulhasni yang terkenal dengan julukan The Pocket Rocketman merekodkan catatan masa 9.402 saat yang juga memecahkan rekod kebangsaan miliknya sendiri manakala Shah Firdaus pula merekodkan catatan masa 9.635s.

Catatan tersebut menyaksikan Azizulhasni menduduki tangga ke-10, manakala Shah Firdaus di tangga ke-22 daripada 24 pelumba yang layak ke pusingan seterusnya.

Seramai 30 pelumba terlibat dalam acara tersebut termasuk jaguh-jaguh dunia seperti Harrie Lavreysen, Jack Carlin, Matthew Richardson dan pemegang rekod dunia dari Trinidad dan Tobago, Paul Nicholas.

Bagaimanapun jaguh Belanda, Lavreysen mencatatkan masa terpantas serta mencipta rekod dunia baharu dalam acara berkenaan dengan 9.088s diikuti pelumba Australia, Richardson (9.091s).

Azizulhasni yang juga pemenang pingat perak acara keirin pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan Shah Firdaus memulakan aksi hari ini hingga Jumaat, termasuk akan bersaing dalam acara kegemaran mereka iaitu keirin lelaki.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *