Para Diplomat Diminta Perkukuh Diplomasi Ekonomi Negara – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat daripada 13 Ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia di Kompleks Sri Perdana, Putrajaya pada 20 Mei 2026. Foto PMO
PUTRAJAYA, 20 Mei – Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan keperluan untuk Malaysia terus memperkukuh keupayaan diplomasi ekonomi negara khususnya dalam usaha menarik perdagangan, pelaburan berkualiti tinggi serta meneroka peluang kerjasama strategik demi memperkasa pertumbuhan ekonomi negara secara mampan.
Perdana Menteri berkata demikian semasa menerima kunjungan hormat daripada 13 Ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia yang bakal menggalas tanggungjawab mewakili negara di pelbagai rantau strategik dunia, menerusi perkongsian di media sosial hari ini.

“Peranan diplomat pada masa kini tidak lagi terbatas kepada urusan protokol dan hubungan rasmi antara negara semata-mata.
“Seorang diplomat perlu mempunyai kefahaman mendalam terhadap sejarah, budaya, sistem politik serta nuansa masyarakat setempat supaya setiap bentuk keterlibatan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan bermakna,” katanya.

Mengulas lanjut, Anwar turut menegaskan kepentingan usaha berterusan untuk membimbing serta memperkasa generasi diplomat muda agar memiliki keluasan ilmu, ketajaman pemikiran dan kemampuan menghadapi cabaran geopolitik serta ekonomi global yang semakin kompleks.
Beliau menambah, Malaysia akan terus berpegang kepada prinsip kesederhanaan, kestabilan, tata kelola yang baik serta pendekatan diplomasi berteraskan kebijaksanaan dan nilai kemanusiaan sejagat dalam membawa suara negara di pentas dunia.

Antara perwakilan yang hadir termasuk Dato’ Ahmad Rozian Abd Ghani, Duta Besar Malaysia ke Jepun; Datin Paduka Anizan Siti Hajjar Adnin, Duta Besar Malaysia ke Singapura dan Dato’ Indera Dr. Azfar Mohamad Mustafa, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom.
Selain itu, Dato’ Fenny Anak Nuli, Duta Besar Malaysia ke Austria; Abu Bakar Mamat, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand; Norli Muadza Mohd Nor, Duta Besar Malaysia ke Laos dan Ahmad Kamrizamil Mohd Riza, Duta Besar Malaysia ke Oman.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
