Ops Tiris: Tiga Suspek Dicekup KPDN Cuba Seludup Petrol Ke Thailand

Penguat Kuasa KPDN memeriksa sebuah kereta yang dipercayai membawa petrol seludup ke Thailand lebih RM15 ribu di ICQS Rantau Panjang pada 27 Mac 2026. Foto KPDN
RANTAU PANJANG, 27 Mac – Operasi besar-besaran menumpaskan sindiket penyeludupan mula digerakkan apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan menahan dua lelaki dan seorang wanita warga Thailand dipercayai cuba menyeludup minyak petrol ke Thailand bernilai RM15,619.20, hari ini.
Semua suspek yang masing-masing memandu Proton Waja ditahan dalam Ops Tiris ketika memasuki Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, di sini kira-kira jam 7.30 pagi tadi.
“Dalam kes pertama, seorang lelaki berusia 53 tahun ditahan bersama sebuah kereta Proton Waja dan 50 liter petrol dengan nilai rampasan keseluruhan RM5,193.50.
“Sementara itu, seorang lelaki berusia 56 tahun turut ditahan dengan rampasan 60 liter petrol serta kenderaan bernilai keseluruhan RM5,232.20.
“Manakala, kes ketiga membabitkan seorang wanita berusia 35 tahun dengan rampasan 50 liter petrol dan kenderaan, menjadikan jumlah nilai keseluruhan rampasan RM5,193.50,” katanya.
Hasil siasatan awal mendapati kesemua suspek mengaku petrol terbabit dibawa ke negara jiran untuk dijual di sana.
Kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Seksyen 8(4)(a) akta sama kerana disyaki memiliki barang kawalan dengan niat untuk menyeleweng.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web



