‘Nyah Aura Rafizi’ Daripada Kepompong Pemikiran Lapuk

Perjuangan KEADILAN bukan semuanya mengenai Rafizi tetapi Rafizilah yang lebih memerlukan KEADILAN dan yang menaikkan namanya dalam politik arus perdana.

PENDAPAT, 3 Jun – Pemilihan telah pun selesai dan kini sudah sampai masanya KEADILAN keluar daripada bayangan dan ‘aura’ Rafizi Ramli selepas bekas timbalan presiden itu bertekad tidak mahu menerima sebarang jawatan lantikan dalam parti itu, kata penganalisis politik.

Menurut Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya (UM), tiba masa KEADILAN bergerak terus bawah kepimpinan baharu seperti Nurul Izzah Anwar, Amirudin Shari, Chang Lih Kang dan R Ramanan dalam membawa pembaharuan parti termasuk membuktikan keupayaan strategik menghadapi PRN Sabah serta PRU16.

“KEADILAN tidak akan ‘tempang atau berkubur’ tanpa Rafizi dalam barisan kepimpinan kerana parti itu sudah melalui pelbagai sejarah serta episod kehilangan pemimpin seperti Azmin Ali, Zuraida Kamaruddin, Ezam Mohd Nor dan Khalid Ibrahim.

Pengunduran Rafizi dan Nik Nazmi bukan penamat segala-galanya tetapi masa untuk terus bekerja menguruskan rakyat dan negara.

“Kebergantungan kepada Rafizi adalah naratif lama yang perlu direformasi oleh KEADILAN. Kekuatan sebenar KEADILAN bukan pada individu tetapi kemampuan menggembleng tenaga akar umbi.

“Langkah ini akan membuktikan KEADILAN sudah cukup matang untuk berdiri sendiri, membina pemimpin baharu dan keluar daripada bayang tokoh lama.

“KEADILAN harus mengelak daripada kelihatan terlalu bergantung kepada susuk yang tidak lagi ingin terlibat secara langsung kerana ini boleh mencerminkan ketandusan pemimpin pelapis,” katanya.

Oleh itu, tidak perlu ‘memujuk’ Rafizi seperti kelihatan terdesak sebaliknya menggunakan kemampuan dan pasukan yang ada, termasuk Lih Kang dan Aminuddin yang tetap menjadi ‘mata dan telinga’ Rafizi dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP) selepas ini.

Malah Lee Chean Chung dan Akmal Nasrullah Mohd Nasir juga boleh menjadi ‘kumpulan pendesak’ yang lebih ‘garang’ dalam MPP yang selama ini dilihat tidak bermaya pada sesi lepas.

KEADILAN bukan semuanya mengenai ‘Rafizi’ tetapi ia melangkaui lebih jauh daripada sekadar ‘gorengan lama yang sudah tidak enak malah memualkan’ dek terlalu beremosi melondehkan ‘kepincangan’ dalaman parti kepada musuh.

Biarkan luncai terjun dengan labu-labunya…

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *