Nurul Izzah Dilantik Naib Presiden KEADILAN

PETALING JAYA, 20 Jul – Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN penggal 2022-2025 yang mengadakan mesyuarat pertama malam ini di ibu pejabatnya di sini, melantik tiga lagi Naib Presiden.

Tiga Naib Presiden tersebut ialah Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, Saraswathy Kandasamy dan Ahli Parlimen Putatan, Awang Husaini Awang Sahari.

Nurul Izzah pernah menjadi Naib Presiden penggal lalu dan pelantikannya mampu memperkuatkan pentadbiran parti secara lebih berkesan bersama gandingan Timbalan Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli.

Presiden KEADILAN, Anwar Ibrahim mengumumkan nama-nama tersebut dalam sidang media selepas mesyuarat berkenaan.

“Ahli Parlimen Selayang, William Leong dilantik sebagai Bendahari parti, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil sebagai Ketua Penerangan dan Ketua Setiausaha Pengelola, Zahir Hassan.


“Selain itu lima ahli MPP turut dilantik antaranya, Manivanan Gowin; Ahli Parlimen Tawau, Christina Liew; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Rodziah Ismail, Yuneswaran Ramaraj dan Abun Sui Anyit,” katanya.

Pada Ahad, Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) mengumumkan pemilihan baharu bagi jawatan Naib Presiden KEADILAN iaitu, Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad; Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun serta Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chang Lih Kang.

Seorang lagi Naib Presiden ialah Amirudin Shari yang tidak dapat hadir kerana kini berada di luar negara atas urusan rasmi kerajaan negeri Selangor.


Saifuddin Nasution yang tewas di tangan Rafizi bagi perebutan jawatan Timbalan Presiden pula, dilantik semula sebagai Setiausaha Agung namun difahamkan tidak banyak yang mampu dilakukan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu itu kerana gagal melaksanakan tugas semasa ketiadaan Rafizi sejak 2018.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *