Naib Presiden Keluar Parti, KDM Bakal Bergolak Lagi

Tangkap layar video Johair bersama pimpinan Bahagian Beaufort keluar parti KDM pada Ahad.

KOTA KINABALU, 7 Jan – Naib Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Johair Mat Lani mengumumkan keluar daripada parti itu berkuat kuasa serta merta.

Pengumuman itu dibuat oleh beliau di sebuah hotel di Beaufort dan video mengenainya turut tular di media sosial sejak malam Ahad.

Menerusi video berdurasi dua minit 28 saat itu, beliau memaklumkan keputusan diambil hasil persetujuan bersama pimpinan jawatankuasa dan sayap parti bahagian tanpa paksaan daripada mana-mana pihak.

“Selepas ini kami ingin menyatakan sokongan dan meneruskan perjuangan bersama Datuk Isnin Aliasnih selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias merangkap Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Klias dan ADUN Kuala Penyu, Datuk Limus Jury merangkap Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Kuala Penyu.

“Kami meletakkan keyakinan bahawa Gagasan Rakyat masih mampu menerajui Sabah dan dengan semangat keluarga besar yang telah sedia ada, maka pada tarikh 7 Januari 2024 bersamaan pada hari Ahad, saya Datuk Johair Mat Lani mengisytiharkan untuk mengundurkan diri daripada parti KDM dan melepaskan semua jawatan iaitu Naib Presiden I KDM serta Ketua Bahagian Parlimen Beaufort,” katanya.

Tangkap layar video Johair bersama pimpinan Bahagian Beaufort keluar parti KDM pada Ahad.

Beliau turut memaklumkan, turut bersamanya mengambil keputusan itu ialah seluruh pimpinan Jawatankuasa Bahagian, Wanita Bahagian, Pemuda Bahagian dan Pueteri Bahagian yang berkuatkuasa pada Ahad.

Johair dalam pada itu turut berterima kasih kepada Presiden KDM, Datuk Peter Anthony dan seluruh kepimpinan parti yang telah memberi kepercayaan terhadapnya selama ini.

Untuk rekod, pada Mei tahun lalu, Timbalan Presiden KDM, Datuk Juil Nuatim mengesahkan bahawa beliau telah keluar daripada KDM.

Beliau yang juga ADUN Limbahau turut menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *