Naib Ketua Penyelaras Umno Pitas Keluar Parti

Ruddy (empat kiri) menerima borang keahlian Gagasan Rakyat dari Maslan (tengah).

PITAS, 31 MacNaib Ketua Penyelaras UMNO, Pitas, Maslan Selen bertindak keluar parti dan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) baru-baru ini..

Maslan berkata, keputusan itu dibuat selepas melihat kepimpinan Gagasan Rakyat terutamanya Datuk Seri Dr. Ruddy Awah bersungguh-sungguh memperjuangkan rakyat di daerah ini.

Katanya, Gagasan Rakyat Pitas ikhlas membantu rakyat ke arah yang lebih baik, selain situasi politik UMNO ketika ini.

“Saya melihat pemimpin Gagasan Rakyat Pitas sangat prihatin dengan nasib dan keadaan rakyat serta komited membangunkan daerah ini.

“Situasi politik UMNO yang kurang stabil turut mendorong pemikiran saya untuk menyertai Gagasan Rakyat,” katanya.

Ruddy (empat kiri) menerima borang keahlian Gagasan Rakyat dari Maslan (tengah).

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan borang keahlian Gagasan Rakyat kepada Ruddy, baru-baru ini.

Menurutnya, kerajaan negeri hari ini diyakini dapat membangunkan ekonomi Sabah dan membela nasib seluruh rakyat.

“Justeru, saya dengan rela hati tanpa sebarang syarat menawarkan diri menyertai Gagasan Rakyat di bawah kepimpinan Datuk Seri Ruddy.

“Saya juga berkeyakinan lebih banyak lagi cawangan UMNO di Pitas akan menyertai Gagasan Rakyat dalam masa terdekat,” katanya.  

Sementara itu, Ruddy berkata, pihaknya menyambut baik penyertaan Maslan dan turut mengalu-alukan pemimpin yang lain untuk bersama membangunkan Pitas.

“Kita berbesar hati dan gembira Maslan dapat menyertai Gagasan Rakyat dan diharapkan kehadiran beliau akan menjadikan parti ini lebih kuat di Pitas.

“Saya mengharapkan lebih ramai lagi ahli UMNO dan Parti Warisan (WARISAN) menyertai Gagasan Rakyat bagi memastikan rakyat Pitas dapat dibela,” katanya.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *