NADI On Wheels Perkukuh Jaringan Teknologi Digital Ke Pedalaman Sabah – Fahmi

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil ketika menghadiri Program Kempen Internet Selamat (KIS) di Sekolah Kebangsaan Sindumin, Sipitang pada 15 Oktober 2025. Foto Facebook Fahmi Fadzil
SIPITANG, 15 Okt – Pelancaran inisiatif NADI on Wheels (NOW) merupakan satu usaha memperluas capaian serta memperkukuh jaringan teknologi dan pembangunan komuniti di kawasan pedalaman yang terus diperkasa dari semasa ke semasa.
Majlis pelancaran peringkat negeri Sabah itu disempurnakan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil sempena program Hari Bersama Komuniti (HBK) di sini hari ini yang turut menampilkan pelbagai aktiviti dan khidmat komuniti kepada penduduk setempat yang teruja dengan peralatan komunikasi bergerak seumpamanya di Sabah.

Inisiatif di bawah Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu menumpukan usaha memperkasa keterhubungan dan keupayaan digital luar bandar agar tidak terpinggir daripada arus kemajuan negara.
“NADI on Wheels ialah pusat bergerak yang dilengkapi satelit Starlink berkelajuan hingga 250 Mbps, komputer riba, tablet, projektor, sistem tenaga solar dan Wi-Fi percuma yang direka untuk membawa teknologi dan perkhidmatan terus kepada rakyat, khususnya di kawasan sukar dicapai,” menurut MCMC dalam kenyataan hari ini.

Selain menyediakan akses digital, kenderaan NOW juga berperanan sebagai ruang interaktif untuk latihan komuniti, pembelajaran digital dan program Perkhidmatan Pintar NADI bagi meningkatkan ilmu dan kemahiran setempat.
Ia juga berperanan sebagai pusat sehenti bergerak yang akan menyalurkan pelbagai maklumat dan jaringan komunikasi digital seterusnya merapatkan jurang digital antara bandar dan pedalaman sementara inisiatif Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) bernilai RM2 bilion beroperasi sepenuhnya kelak.

NOW juga menyasarkan untuk menyantuni rumah anak yatim, golongan Orang Kurang Upaya (OKU), masyarakat Orang Asli dan komuniti terpencil agar mereka turut dapat merasai kemajuan teknologi serta tidak ketinggalan dalam era pendigitalan negara.
MCMC turut memaklumkan kejayaan NADI Pulau Banggi diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila memenangi kategori “Capacity Building” di World Summit on the Information Society (WSIS) 2025 di Geneva, Switzerland sekali gus mengangkat imej Malaysia sebagai negara proaktif dalam pembangunan digital komuniti.
HBK di NADI Sindumin turut menyaksikan pelantikan Pengerusi Panel Penasihat NADI bagi Parlimen Sipitang dan Beaufort serta penganjuran pameran keusahawanan komuniti, program kesedaran digital, pemeriksaan kesihatan percuma dan segmen bimbingan kerjaya yang dijayakan bersama PERKESO, MyFutureJobs dan Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM).
Serentak itu, peningkatan kadar kesalinghubungan dijangka mampu merancakkan ekonomi setempat selain memberi akses lebih baik bagi pembelajaran dalam talian bagi para pelajar tempatan.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
