MPN KEADILAN Selangor Desak PN Nyatakan Pendirian Berhubung Kenyataan Presiden Pas

Borhan berkata tindakan membisu pimpinan PN Selangor yang diketuai Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menunjukkan seolah-olah mereka sanggup membelakangi titah Sultan Sharafuddin. Foto Bernama
SHAH ALAM, 1 Mac – Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Selangor mendesak Perikatan Nasional (PN) negeri menyatakan pendirian berhubung rasa amat dukacita yang dizahirkan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah terhadap kenyataan yang dibuat Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang menerusi tulisan beliau pada 20 Februari lepas.
Timbalan Pengerusinya Borhan Aman Shah dalam kenyataan hari ini berkata tindakan membisu pimpinan PN Selangor yang diketuai Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menunjukkan seolah-olah mereka sanggup membelakangi titah Sultan Sharafuddin semata-mata untuk menjaga hati pemimpin dan penyokong Pas.
Kenyataan itu merujuk kepada surat daripada pejabat Sultan Selangor pada 27 Feb lepas yang dihantar kepada Pesuruhjaya Pas Selangor Datuk Dr Ab Halim Tamuri berhubung kenyataan Abdul Hadi itu.
ADUN Selangor Tempelak Pesuruhjaya Pas Negeri Enggan Ulas Titah Sultan Sharafuddin
Borhan yang juga Exco Perumahan dan Kebudayaan negeri berkata surat itu jelas menyatakan dukacita Sultan Selangor terhadap kenyataan Abdul Hadi yang menyinggung tanpa memahami secara menyeluruh titah ucapan Baginda.
Semalam, dalam hantaran yang dimuat naik menerusi Facebook Selangor Royal Office, Sultan Sharafuddin menzahirkan rasa sedemikian dalam surat yang diutus kepada Abdul Hadi menerusi Pesuruhjaya Pas Selangor itu.
Antara inti pati surat berkenaan adalah Sultan Sharafuddin menyifatkan Abdul Hadi tidak membaca secara menyeluruh dan mendalam titah ucapan baginda semasa Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) pada 15 Februari lalu. – Bernama
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
