MoU Tidak Akan Disambung Selepas 31 Julai

KUALA LUMPUR, 27 Jul – Memorandum persefahaman antara kerajaan dan Pakatan Harapan yang dikatakan akan tamat pada 31 Julai tidak akan disambung, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
Ismail yang juga naib presiden Umno berkata gabungan pembangkang dimaklumkan tentang ketetapan partinya untuk tidak menyambung perjanjian yang dimeterai pada 13 September 2021 itu, dan kedua-dua pihak bersetuju “tidak perlu ada perjanjian baharu”.
“Tak penting sama ada MoU bertulis atau tidak, tapi yang lebih penting adalah kesefahaman untuk beberapa isu tertentu,” katanya kepada pemberita.
Antara kesefahaman yang dicari Ismail adalah pindaan Perlembagaan bagi menangani isu lompat parti dan pendanaan politik.
“Persefahaman demi kepentingan rakyat kita boleh teruskan,” tambahnya.
