MoU SC, IsDB Terajui Kewangan Islam Peringkat Dunia – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Bank Pembangunan Islam (IsDB) Dr Muhammad Jasser menyaksikan MoU antara Suruhanjaya Sekuriti (SC) dengan IsDB di Riyadh, Arab Saudi. Foto Facebook Anwar Ibrahim

RIYADH, 29 Apr – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Presiden Bank Pembangunan Islam (IsDB), Dr Muhammad Al Jasser menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan IsDB yang berlangsung di sini hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan itu berkata, MoU tersebut merupakan kesinambungan lawatan beliau ke Pejabat IsDB di Jeddah pada tahun lalu.

“Insya-ALLAH, MoU ini berupaya meningkatkan pembangunan kapasiti, perkongsian pengalaman, dan pelaksanaan projek-projek teknikal secara bersama antara SC dan IsDB, khususnya bagi memudah cara inovasi dalam teknologi kewangan Islam, menggalakkan aliran pelaburan asing ke dalam pasaran swasta dan pembangunan kewangan sosial Islam.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Bank Pembangunan Islam (IsDB) Dr Muhammad Jasser menyaksikan MoU antara Suruhanjaya Sekuriti (SC) dengan IsDB di Riyadh, Arab Saudi. Foto Facebook Anwar Ibrahim

“Usaha ini juga sejajar dengan matlamat ekonomi Madani untuk memastikan Malaysia menerajui kewangan Islam di peringkat dunia,” katanya dalam hantaran di platform X pada Isnin.

Ujar beliau, pemeteraian MoU itu dilakukan selepas selesai perbincangan bersama Muhammad, yang menumpukan pada usaha mengeratkan kerjasama antara Malaysia dan IsDB, terutama peranan Centre of Excellence IsDB di Kuala Lumpur untuk inovasi kewangan Islam.

Menurutnya, turut sertai mesyuarat berkenaan adalah Pengerusi SC, Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin; Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Adnan Zaylani Mohamad Zahid dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Presiden Bank Pembangunan Islam (IsDB) Dr Muhammed Al Jasser selepas menandatangai MoU antara Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan IsDB di Riyadh, Arab Saudi. Foto Facebook Anwar Ibrahim

“Hari terakhir di Riyadh saya mulakan dengan mesyuarat bersama Muhammad.

“Ini selaras dengan peranan Malaysia yang sejak sekian lama telah menerajui pembangunan kewangan Islam, khususnya dalam aspek pembangunan produk kewangan Islam yang setanding produk kewangan konvensional.

“Saya tegaskan kepentingan untuk mengembangkan usaha menerusi pembangunan produk kewangan Islam baharu berdasarkan prinsip maqasid syariah yang mengutamakan keadilan dan perkongsian risiko serta pulangan yang saksama,” ujarnya.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *