MKM Nafi Hilang Kepercayaan Terhadap Anwar

Setiausaha Agung MKM, Aqeef Salih menafikan kenyataan media yang tular berhubung dakwaan kononnya majoriti ahli sayap itu umum hilang kepercayaan terhadap Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) di bawah pimpinan Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR, 10 Mei – Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM) menafikan kenyataan media yang tular berhubung dakwaan kononnya majoriti ahli sayap itu umum hilang kepercayaan terhadap Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) di bawah pimpinan Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiausaha Agungnya, Aqeef Salih berkata, kenyataan tersebut tidak pernah dibincangkan, dipersetujui atau diputuskan melalui saluran rasmi MKM.

Sebaliknya, menurut beliau, ia sekadar tindakan beberapa individu dalam pimpinan pusat yang mempunyai agenda tersendiri dan mengambil kesempatan menggunakan platform MKM untuk menimbulkan kekeliruan serta persepsi negatif terhadap organisasi.

Kenyataan awal dari Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM) yang dikutip portal sendu hingga dijadikan bahan untuk menyerang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di media sosial pada 10 Mei 2026.

“Lebih memalukan, kenyataan tersebut langsung tidak disertakan nama dan jawatan individu yang bertanggungjawab mengeluarkannya.

“Ini jelas menunjukkan ia dibuat secara tidak profesional, tidak bertanggungjawab dan berniat tidak baik.

“Mana-mana pihak yang benar-benar berani dengan pendirian sendiri sepatutnya tampil secara terbuka, bukannya berselindung di sebalik nama organisasi MKM,” katanya dalam kenyataan terbaharu pada Ahad.

Antara hantaran warganet yang keliru mana satu yang benar dan yang palsu.

Aqeef menegaskan, MKM sentiasa berpegang kepada disiplin organisasi, adab perjuangan dan proses demokrasi yang matang.

Tambah beliau, sebarang pandangan peribadi tidak boleh ‘dipaksakan’ sebagai pendirian rasmi organisasi tanpa mandat serta persetujuan bersama.
“MKM tidak akan sesekali membenarkan platform perjuangan mahasiswa diperalatkan untuk kepentingan politik individu tertentu.

“Kami sebagai sayap mahasiwa akan sentiasa menghormati institusi presiden dan menyokong penuh kepimpinan Anwar,” ujarnya.

Aqeef memaklumkan pihak sekretariat akan meneliti perkara tersebut dengan serius termasuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang menyalah gunakan nama MKM tanpa kebenaran.

“MKM akan terus kekal fokus membawa suara mahasiswa dengan penuh tanggungjawab, prinsip dan integriti,” tegas Aqeef lagi.

Terdahulu, portal tempatan yang semakin tiada kredibiliti mendakwa, sekumpulan ahli MKM yang memenangi ‘pemilihan sayap KEADILAN’ baru-baru ini didakwa mengumumkan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Anwar.

Kumpulan mahasiswa itu dalam satu kenyataan mendakwa, keputusan tersebut dibuat selepas kepimpinan baru MKM melakukan penilaian kritikal terhadap hala tuju parti yang dikatakan semakin menjauh daripada semangat reformasi asal.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *