Mesir Pelawa Malaysia Anjur Persidangan Pemulihan Gaza – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri Mesir, Mostafa Madbouly. Foto arkib Facebook Anwar Ibrahim
JOHANESBURG, 23 Nov – Mesir telah mempelawa Malaysia untuk bersama menganjurkan persidangan antarabangsa mengenai pelan pemulihan Gaza.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, perkara itu disampaikan oleh rakan sejawatnya dari Mesir, Mostafa Madbouly, di Sidang Kemuncak G20 di sini, semalam.
Anwar berkata pemimpin itu turut menyampaikan salam daripada Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sisi, sebelum memaklumkan tentang persidangan yang dirancang dan bagaimana Malaysia bakal terlibat.
“Beliau meminta kita bukan sahaja menghadiri persidangan itu, tetapi juga menganjurkannya bersama-sama.
“Saya kata saya akan minta Kementerian Luar kita meneliti perkara ini, dengan teliti sebelum boleh memberi jawapan,” katanya.
Anwar berkata persidangan yang dirancang itu adalah idea yang baik dan Malaysia, walaupun terletak jauh dari Timur Tengah, akan memberikan sokongan penuh dan menghadirinya.
“Yang boleh saya katakan buat masa ini, rancangan mereka ialah mendapatkan kerjasama negara Arab dan negara Islam lain, bersama-sama Amerika Syarikat (AS), untuk memastikan pemulihan Gaza dijalankan secara menyeluruh,” tambahnya.
Portal tempatan Mesir melaporkan, Mostafa mengumumkan negara itu bersedia menganjurkan persidangan antarabangsa mengenai pemulihan awal dan pembinaan semula Gaza.
Selain menyatakan kesediaan Mesir untuk menjadi tuan rumah persidangan dan menjemput negara peserta untuk mengambil bahagian secara aktif.
Mesir dilapor telah menyediakan pelan pembinaan semula yang menyeluruh di Gaza, yang diterima pakai oleh negara Arab ketika Sidang Kemuncak Arab pada Mac lalu.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web



