Merdekakan Diri Daripada ‘Perhambaan Minda’

PENDAPAT, 30 Ogos – Mana-mana negara di dunia ini pastinya meraikan hari kelahiran sesebuah negara dengan mendasari satu dimensi baharu buat rakyat meneruskan cabaran kehidupan yang lebih baik.

Namun lain pula halnya di sebuah negara bernama Malaysia. Nampak ceria dan bahagia tetapi sebenarnya rakyat derita dan sengsara.

Minda rakyat terus disumbat dengan pelbagai retorik seperti ‘Keluarga Malaysia’ kononnya negara ini bagaikan satu keluarga besar yang makmur tetapi hakikatnya, jurang pemodenan antara Semenanjung dan Borneo ibarat langit dengan bumi.

Apakah ini cara minda rakyat dipaksa pada hari kemerdekaan yang kita laungkan saban tahun tetapi dalam masa sama, minda kita tidak bebas untuk berpolitik seperti yang termaktub dalam Perlembagaan ataupun berbeza walau sedikit pun pandangan dengan kerajaan?

Jelaslah menunjukkan kemerdekaan negara disekat oleh elit penguasa jika mereka terus memerintah negara ini, seolah-olah tiada kerajaan lain yang mampu memberi kehidupan dan kesejahteraan kepada rakyat.

Apakah ini benar?


Yang sebenarnya jiwa kita harus berjiwa merdeka. Jiwa merdeka bermaksud jiwa yang membara ingin melakukan perubahan kepada masa depan negara berlandaskan ekonomi, pendidikan dan sosial serta membebaskan doktrin ‘perhambaan minda’ yang terikat dengan retorik lapuk tanpa sebarang makna.

Jika jiwa kita merdeka bermakna kita sentiasa berjuang demi keluarga dan negara. Jiwa merdeka juga memerlukan kita mengetahui hak-hak kita sebagai warganegara Malaysia yang bebas dan berdaulat.

Perkara 153 perlembagaan Persekutuan, menetapkan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak. Walaupun begitu, mereka yang lain juga mempunyai hak sebagai warganegara Malaysia yang sah di sisi undang-undang.

Jika hari ini, Presiden Pas mengatakan bahawa majoriti merosakan politik, urusan pentadbiran dan kehakiman adalah dari kalangan orang bukan islam dan bukan bumiputera.


Apakah Presiden Pas , Datuk Seri Abdul Hadi Awang ini berjiwa merdeka? Jiwa merdeka sepatutnya tidak perlu mengeluarkan kenyataan yang menghasut rakyat dengan bersifat rasis seperti ini.

Hal ini sudahpun menunjukkan mereka tidak mampu menjiwai kemerdekaan. Mereka seperti ini hanyalah hidup dengan menakut-nakutkan rakyat demi untuk survival politik dengan kaedah membakar api perkauman dan menunggang agama demi kekayaan dunia.

Kita seharusnya menjiwai kemerdekaan dengan memahami lunas-lunas perlembagaan dan menggunakan hak-hak kita yang terkandung di dalam perkara 153 perlembagaan Malaysia.

Natijahnya, kemerdekaan negara tidak perlu dilaungkan dengan kata-kata retorik sahaja tetapi harus dijiwai dengan semangat untuk bersaing satu sama lain dan mengecapi kebebasan berdasarkan lunas undang-undang di negara kita.

Kita tidak usah gentar dan takut keluar dari perhambaan minda ini untuk melakukan perubahan di negara kita jika itu hasilnya itu nanti akan dinikmati untuk kebaikan generasi akan datang.

– Jame Stephen ialah seorang aktivis Bintulu dan terlibat dalam memperkasa masyarakat pedalaman di Sarawak. Tulisan beliau tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Media Rania

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *