Merdeka 67: PM Anwar Hargai Kesanggupan Rakyat Semarak Sambutan Kemerdekaan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) bertemu dan bersalaman dengan orang ramai selepas berakhirnya sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 di Dataran Putrajaya, pagi tadi. Foto Facebook Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA, 31 Ogos – Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan penghargaan tertinggi dan syabas kepada ratusan ribu rakyat Malaysia pelbagai kaum yang sanggup menunggu seawal pagi demi mahu menyemarakkan sambutan kemerdekaan tahun ini.

Perdana Menteri berkata sambutan tahun ini penting dalam mencetus inspirasi untuk bersama memaknai kemerdekaan yang dinikmari sejak 67 tahun lalu.

“Saya dan (Datuk Seri Dr Wan ) Azizah (Wan Ismail) hadir berhimpun di Dataran Putrajaya pagi tadi bersama ratusan ribu rakyat Malaysia dari seluruh negara untuk meraikan sambutan Hari Kebangsaan Ke-67.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) bertemu dan bersalaman dengan orang ramai selepas berakhirnya sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 di Dataran Putrajaya, pagi tadi. Foto NSTP

“Bangga melihat penyertaan penuh bersemangat dan bertenaga daripada pasukan keselamatan, badan penguat kuasa, agensi-agensi kerajaan, syarikat-syarikat swasta serta anak-anak pelajar dalam perarakan kemerdekaan ini,” katanya menerusi perkongsian pada akaun Facebook miliknya sebentar tadi.

Anwar dalam masa sama turut menyatakan rasa kagum melihat pelbagai persembahan yang memukau terutamanya pertunjukan aset udara dan persembahan Malaysia MADANI.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) melambai dan bersalaman dengan orang ramai selepas berakhirnya sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 di Dataran Putrajaya, pagi tadi. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Katanya, Malaysia MADANI Jiwa Merdeka mengangkat tema integriti dengan mengetengahkan perjuangan membersihkan negara daripada rasuah.

“Persembahan dan sorakan menakjubkan daripada sekitar 2,000 anak-anak pelajar yang memenuhi pasukan Teres Grafik Manusia juga mencuri tumpuan sepanjang perarakan ini,” katanya.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *