Merdeka 67: Negara-Negara Asia Selatan Ucap Tahniah Sempena Hari Kebangsaan

Presiden Maldives Dr Mohamed Muizzu menyampaikan ucapan tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Sultan Ibrahim dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-67. Foto BBC
NEW DELHI, 31 Ogos – Negara-negara rantau Asia Selatan pada Sabtu mengucapkan tahniah kepada Malaysia sempena Hari Kebangsaan ke-67.
Dimulakan dengan Presiden Maldives Dr Mohamed Muizzu, beliau menyampaikan ucapan tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Sultan Ibrahim dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena sambutan itu.
Muizzu berkata dalam surat berasingan kepada Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri bahawa kerjasama antara Maldives dan Malaysia adalah berasaskan rasa hormat, prinsip bersama, dan hubungan erat antara rakyat kedua-dua negara.
Presiden itu “menyatakan keyakinan bahawa kerjasama yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara akan terus kukuh demi manfaat kedua-dua negara,” menurut kenyataan yang dikeluarkan pejabatnya.

Menteri Luar Maldives pula Moosa Zameer turut mengucapkan tahniah kepada rakan sejawatannya dari Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan, dan berkata beliau menantikan untuk “mempereratkan lagi hubungan rapat dan mesra antara kedua-dua negara.”
Sri Lanka dan Pakistan juga mengucapkan tahniah kepada Malaysia.
“Sempena Hari Kebangsaan Malaysia, kami mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada rakyat dan Kerajaan Malaysia,” kata Kementerian Luar Pakistan dalam satu hantaran di media sosial.
Dalam mesej dari rantau lain, Turkiye dan Iran turut menyampaikan ucapan tahniah kepada Malaysia sempena sambutan Hari Kebangsaan.
“Republik Islam Iran mengucapkan tahniah yang tulus ikhlas kepada saudara kami yang mesra, Kerajaan Malaysia sempena Hari Kemerdekaan mereka. Memperkukuhkan hubungan menyeluruh adalah agenda bersama kedua-dua negara,” kata Kementerian Luar Iran.
“Tahniah kepada saudara kami yang mesra, Malaysia sempena Hari Kebangsaan!” kata Kementerian Luar Turkiye.
Sementara itu, Menteri Luar India Subrahmanyam Jaishankar dalam mesejnya kepada rakan sejawatannya di Malaysia sempena Hari Kebangsaan ke-67 berkata: “Saya menantikan untuk memperkukuhkan lagi Perkongsian Strategik Komprehensif kita.”
Sambutan Hari Kebangsaan ke-67 bagi tahun 2024 diadakan di Dataran Putrajaya, pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan dan kali kedua dikendalikan Kerajaan Perpaduan.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web




