Menteri Pertahanan Pantau Isu Peletakan Jawatan Pengurusan LTAT – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah)melakukan gimik perasmian majlis pelancaran Hab Kewangan Antarabangsa Malaysia Tun Razak Exchange (TRX) di Menara Exchange 106, Kuala Lumpur hari ini. Foto Jabatan Penerangan
KUALA LUMPUR, 23 Feb – Isu peletakan jawatan pengurusan kanan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) sedang dikendalikan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara ini akan dilaporkan Mohamed Khaled kepada Jemaah Menteri selepas mendapat penyelesaian.
“(Isu) LTAT sedang dikendali oleh Menteri Pertahanan dan (ia) akan dilapor ke Jemaah Menteri,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Tun Razak Exchange (TRX) sebagai Pusat Kewangan Antarabangsa Malaysia di sini.
Bulan lalu, tiga pegawai kanan pengurusan LTAT dilapor telah meletak jawatan.
Mereka adalah Ketua Eksekutifnya, Datuk Ahmad Nazim Abd Rahman; Pengerusi Jeneral (B), Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Pengarah Kanan Strateginya, Dayana Rogayah Omar.

Terdahulu Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memaklumkan isu peletakan jawatan tiga pegawai kanan pengurusan Lembaga Tabung Angkatan Tentara (LTAT) dipercayai berada dalam ‘radar’ Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan bagaimanapun berkata, setakat ini Jemaah Menteri belum menerima makluman berhubung perkara berkenaan.
“Kami belum lagi menerima pemakluman terkini, apakah statusnya, tetapi saya percaya Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan ada meneliti perkara ini.
“Isu terbabit juga tidak dibincangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri hari ini. Sekiranya ada pemakluman nanti, akan diumumkan kemudian,” katanya pada sidang media di Putrajaya, pada Rabu.
Isu Peletakan Jawatan Pegawai Kanan LTAT Dalam Penelitan PM Anwar, Menteri Pertahanan
Sebelum ini, media melaporkan tiga pegawai kanan pengurusan LTAT meletakkan jawatan mereka sejak sebulan lalu dalam tabung persaraan untuk 120,000 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
