Menteri Kewangan II Akan Urus Isu Tanah Milik Malaysia Di Singapura – Fahmi

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menerima kunjungan Duta Sweden ke Malaysia, TYT Niklas Wiberg di Putrajaya pada 5 Jun 2025. Foto Facebook Kementerian Komunikasi
PUTRAJAYA, 5 Jun – Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan telah diberikan tanggungjawab untuk mengambil tindakan lanjut susulan pengumuman pihak berkuasa tanah Singapura berhubung pengambilan dua bidang tanah milik Kerajaan Malaysia di Woodlands.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata perkara itu dibincang pada Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini susulan laporan media semalam mengenai tindakan pihak berkuasa republik tersebut.
“Jemaah Menteri ada membincangkan tentang hal ini dan Menteri Kewangan II telah ditugaskan untuk melakukan beberapa tindakan susulan,” katanya pada sidang media mingguan di sini.

Semalam, Penguasa Tanah Singapura (SLA) telah mewartakan perancangan pengambilalihan tanah terbabit bagi tujuan pembangunan semula dan peluasan Pusat Pemeriksaan Woodlands (WCP).
Dalam kenyataan bersama, SLA serta Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) memaklumkan kedua-dua bidang tanah berkenaan yang berkeluasan kira-kira 0.79 hektar serta terletak berhampiran bahagian tengah tapak pembangunan semula, akan diambil alih oleh Kerajaan Singapura.
Menurut kenyataan itu, kedua-dua lot merupakan kawasan bersemak dan tidak digunakan. SLA dan ICA memaklumkan mereka akan bekerjasama rapat dengan Malaysia sepanjang proses pengambilalihan itu.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
