Mengenali R Ramanan: Sinar Harapan Komuniti, Perkasa Keusahawanan Dan Koperasi

Komitmen Datuk R Ramanan menyumbangkan gajinya kepada rakyat Sungai Buloh dibuktikan dengan pemberian sumbangan kepada 37 buah masjid, 20 kuil dan rumah ibadat lain sepanjang 2023. Foto Facebook Parlimen Sungai Buloh
PENDAPAT, 29 Dis – Antara figura yang menjadi ‘giant killer’ dalam arena politik pasca-PRU-15 ialah Datuk R. Ramanan yang menonjol setelah menumbangkan bekas menteri kesihatan yang ‘ditendang’ dari kerusi parlimen asalnya.
Bukan sekadar memenangi dan mempertahankan Sungai Buloh kekal di tangan KEADILAN dan Pakatan Harapan (PH) namun secara senyap-senyap memposisikan dirinya sebagai simbol komitmen dan ketelusan.
Pemilik nama lengkap Datuk Ramanan Ramakrishnan ini yang baru dilantik sebagai Timbalan Menteri bagi Kementerian Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (KUSKOP) usai rombakan kabinet 12 Disember lalu, kini mula digelar ‘Sinar Harapan Komuniti’ oleh rakyat kerana dedikasinya yang teguh kepada warga Parlimen Sungai Buloh.
Pencapaian cemerlang beliau mengendalikan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) turut meniti di dada-dada akhbar arus perdana dan tentunya di platform media atas talian.

Mengotakan janji pilihan raya, Ramanan tanpa banyak soal mengambil langkah transformatif dengan bermurah hati berkongsi keseluruhan gaji dan elaunnya dengan 75 rumah ibadat di kawasan itu.
Sepanjang tahun 2023, sejumlah RM332,000 telah disalurkan kepada 37 buah masjid, 20 kuil hindu, sembilan buah tokong dan sembilan buah gereja, sekaligus mencipta detik bersejarah dalam politik Malaysia.
Selain itu, dalam hal mengetuai Pasukan Petugas Khas Mitra, beliau mempamerkan ketelusan dan akauntabiliti yang tinggi dalam pengurusan dana, menandakan titik perubahan yang positif untuk Mitra dan kaum India secara keseluruhannya.
Kesan kepimpinannya jelas dalam kad laporan Mitra, dengan 201 acara dianjurkan, lebih RM19 juta dibelanjakan untuk program ekonomi dan kerjaya, RM5.86 juta untuk program sosial, dan lebih RM4 juta untuk program modal insan.

Di bawah bimbingan anak jati ibu kota ini, imej Mitra mengalami transformasi luar biasa hingga memperoleh penarafan ‘risiko rendah’ daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pencapaian ini mencerminkan komitmen beliau terhadap tadbir urus beretika dan tata kelola pengurusan kewangan yang bertanggungjawab selaras dengan amanah yang diberikan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim sejak menggalas tugas mengepalai agensi itu.
Atas kapasitinya sebagai Timbalan Menteri KUSKOP pula, Ramanan telah bertemu dengan pemimpin tempatan dan wakil masyarakat, memacu inisiatif kerajaan mengajak semua pihak terus bergerak ke hadapan
Rekod prestasi dan dedikasinya yang mengagumkan terhadap program sosial dan ekonomi telah membawa harapan kepada masyarakat terutama kaum India juga kaum-kaum lain.

Selaras dengan visi Perdana Menteri sebagai tokoh nombor satu dalam kerajaan, Ramanan komited sepenuh hati untuk terus berusaha ke arah aspirasi murni Malaysia MADANI.
Dedikasinya mengatur gerak meneruskan usaha ahli parlimen terdahulu kini membuahkan hasil dengan penambah baikan dari segi komunikasi dengan rakyat dan kesiap siagaan pegawainya meneliti aduan dan cadangan.
Pada awalnya biarpun tidak diberi harapan sejak menjadi ahli parlimen November tahun lalu, namun dengan restu dan doa rakyat serta petunjuk daripada Tuhan, menggerakkan semangatnya untuk terus berbakti melunaskan manifestonya pada PRU-15 satu-persatu.
Siapa sangka, janji manifestonya kini mula mendapat perhatian rakyat semua kaum tatkala sebaran di media sosial juga menunjukkan respon yang amat positif.

Dan menjelang ambang sambutan tahun baharu 2024, pastinya tekad dan azam beliau menjadikan Sungai Buloh lebih sejahtera dan makmur kekal dalam perancangannya selain memperkasa KUSKOP yang membawa karier politiknya ke satu tahap lebih baik demi rakyat Malaysia.
- Warga Sungai Buloh, pemerhati politik setempat
- Tulisan di atas merupakan pandangan penulis dan tidak mencerminkan pendirian rasmi Harapan MADANI
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
