MCMC Tambah Baik Standard Mandatori Kualiti Perkhidmatan

MCMC berkata, penambahbaikan dilakukan demi memastikan aduan pelanggan diuruskan dengan lebih berkesan. Foto MCMC
CYBERJAYA, 7 Mei – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperkukuhkan perlindungan pelanggan melalui penambahbaikan Standard Mandatori Kualiti Perkhidmatan (Perkhidmatan Aplikasi Kandungan).
Menerusi hantaran di media sosial, MCMC berkata, penambahbaikan dilakukan demi memastikan aduan pelanggan diuruskan dengan lebih berkesan, gangguan perkhidmatan ditangani dengan lebih pantas serta memastikan isu diselesaikan secara munasabah dan diterima oleh pengguna.
Jelasnya, standard tersebut menetapkan keperluan terhadap Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kandungan (CASP) bagi meningkatkan kebolehpercayaan perkhidmatan, memperkukuh akauntabiliti serta memastikan pengendalian aduan pelanggan yang lebih berkesan.

“Standard yang dikemas kini ini melangkaui sekadar memastikan perkhidmatan beroperasi, dengan memberi penekanan yang lebih kukuh terhadap tahap prestasi sebenar perkhidmatan kepada pengguna,” katanya menerusi kenyataan.
MCMC berkata, ciri utama dalam rangka kerja kawal selia yang diperkukuhkan ialah skop pemakaiannya yang lebih luas, merangkumi kedua-dua perkhidmatan aplikasi kandungan berasaskan langganan dan bukan berasaskan langganan.
Tambah MCMC, ia memperkenalkan pelaporan yang lebih teguh dan keperluan tadbir urus, penetapan standard kualiti perkhidmatan yang lebih jelas serta kewajipan penyelesaian aduan yang lebih tegas.
Kenyataan itu juga menyebut, standard itu terpakai kepada semua CASP yang menyampaikan perkhidmatan kandungan televisyen dan radio ke seluruh negara, termasuk penyiaran televisyen bebas ke udara berasaskan langganan dan penyiaran radio terrestrial.
MCMC berkata, sebanyak 34 CASP aktif tertakluk kepada standard berkenaan.
“CASP kini tertakluk kepada tahap akauntabiliti yang lebih tinggi, khususnya dalam aspek ketersediaan perkhidmatan, pemantauan prestasi serta penyelesaian isu perkhidmatan secara tepat pada masanya,” katanya lagi.
Ujarnya, pematuhan terhadap standard ini akan dipantau oleh MCMC, dengan CASP dikehendaki mengemukakan laporan prestasi Kualiti Perkhidmatan (Quality of Service, QoS) secara berkala serta mengekalkan rekod yang lengkap dan boleh diaudit sekurang-kurangnya selama dua tahun.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


