MCMC Diminta Selesai Isu Liputan Internet – Fahmi

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil (dua, kiri) melakukan Lawatan Kerja di Pusat Media Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu di NADI Pekan Kuala Kubu Baharu hari ini. Foto Bernama
KUALA LUMPUR, 29 Apr – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama beberapa pihak berkaitan diminta segera menyelesaikan isu liputan internet berkelajuan tinggi, terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata ini berikutan terdapat aduan dan rungutan daripada orang ramai yang kurang berpuas hati dengan liputan internet disediakan pihak penyedia perkhidmatan berkenaan.
“Kita sudah membuka kaunter MCMC untuk menerima aduan daripada orang ramai kerana ada aduan mengenai masalah berkaitan liputan internet berkelajuan tinggi.
“Mereka mengadu perkhidmatan (internet) disediakan penyedia perkhidmatan tidak berada pada tahap diharapkan.

“Justeru, saya meminta MCMC bekerjasama dengan pihak berkaitan, termasuk Komuniti MADANI di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu untuk mendapatkan maklumat dan maklum balas daripada orang ramai di lebih banyak kawasan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Mengenai kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu, Fahmi menasihatkan semua pihak supaya besederhana dan tidak terbawa-bawa.
Ini kerana, katanya, perundangan sedia ada tidak membenarkan keadaan sedemikian, terutama yang menyentuh isu berkenaan bangsa, agama dan institusi diraja (3R).
“MCMC akan mengambil tindakan berlandaskan undang-undang, bukannya berpandukan selera sendiri atau nafsu politik kerana mereka adalah badan berkanun dan memiliki akta tersendiri dan bertanggungjawab kepada Parlimen.

“Tiada sikap pilih kasih, sesiapa melanggar undang-undang, misalnya menyalah guna rangkaian, boleh diambil tindakan,” katanya.
Sementara itu, Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, kerajaan setakat ini, belum memuktamadkan sebarang bentuk tindakan yang akan diambil ke atas laporan media antarabangsa berhubung dakwaan beberapa kenamaan termasuk Perdana Menteri untuk membuka kasino di Forest City, Johor.
“Saya belum dapatkan maklumat terperinci dan kita akan ada mesyuarat Kabinet, esok. Mungkin selepas itu, tetapi setakat ini saya belum terima maklumat terkini mengenainya.
“Saya difahamkan ada beberapa laporan polis sudah dibuat dan saya belum lihat perinciannya, jadi mungkin kena tunggu mesyuarat Jemaah Menteri terlebih dahulu,” kata Ahli Parlimen Lembah Pantai itu.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
