MB Perlis Dipanggil SPRM, Diambil Keterangan Kes Salah Guna Kuasa

Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli kini disiasat SPRM di Putrajaya berhubung kes membabitkan anaknya. Foto Arkib

PUTRAJAYA, 30 Apr – Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini untuk siasatan berhubung kes salah guna kuasa.

Mohd Shukri yang juga Pesuruhjaya Pas Perlis tiba di Ibu Pejabat SPRM, di sini, kira-kira jam 10 pagi.

Berdasarkan maklumat, sehingga kini proses merekodkan keterangan daripada Mohd Shukri masih berjalan.

Setakat ini, tidak dapat disahkan sama ada Menteri Besar Perlis itu ditahan atau sebaliknya.

Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli kini disiasat SPRM di Putrajaya berhubung kes membabitkan anaknya. Foto Arkib

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan Mohd Shukri kini berada di ibu pejabat agensi berkenaan.

Apabila ditanya sama ada Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis itu ditahan, Azam berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan tangkapan akan dibuat.

Media sebelum ini melaporkan SPRM sedang menyiasat seorang pemimpin kanan di utara tanah air kerana disyaki melantik beberapa syarikat dipercayai mempunyai kepentingan dengannya membabitkan projek pembekalan dianggar bernilai RM300,000.

Pemimpin itu juga disyaki melantik beberapa syarikat bagi kerja-kerja baik pulih dan penyelenggaraan jalan, yang melibatkan peruntukan Pejabat Menteri Besar kira-kira RM1 juta yang dipercayai mempunyai kepentingan dengan anak pemimpin berkenaan.

Terdahulu, anak kepada Menteri Besar Perlis antara enam individu direman SPRM bagi membantu siasatan pemalsuan dokumen tuntutan palsu berjumlah RM600,000.

Azam dikatakan akan mengeluarkan kenyataan mengenai perkara ini hari ini.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *