MB Negeri Sembilan Zahir Ucapan Takziah Pemergian Pengerusi IKIM

Aminuddin menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga dan kenalan Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Allahyarham Prof. Emeritus Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan di laman Facebook sebentar tadi. Foto: Facebook Menteri Besar Negeri Sembilan
SEREMBAN, 23 Feb – Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Harun menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga dan kenalan Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Allahyarham Prof. Emeritus Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan.
Berkongsi catatan terbaharu di laman Facebook, beliau mengenang Allahyarham sebagai seorang tokoh ilmuan yang diiktiraf sehingga ke peringkat antarabangsa dan cukup disegani.
“Takziah diucapkan kepada keluarga dan kenalan Allahyarham Prof. Emeritus Tan Sri Dr Mohd Kamal Bin Hassan, Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
“Allahyarham merupakan seorang tokoh ilmuan yang diiktiraf sehingga ke peringkat antarabangsa dan cukup disegani.
Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan mewakili kerajaan dan rakyat negeri ini mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampuni dosanya serta diletakkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh, Insya-Allah.
Terdahulu, media melaporkan Allahyarham meninggal dunia pada usia 81 tahun kira-kira jam 2.27 pagi tadi.
Perkara itu dimaklumkan oleh IKIM menerusi satu hantaran di laman Facebook pagi ini.
“Dengan rasa dukacita yang amat mendalam, Ahli Lembaga Pengarah, barisan pengurusan dan semua warga IKIM, menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Professor Emeritus Tan Sri Dr. Mohd Kamal Hassan, Pengerusi IKIM yang telah kembali ke rahmatullah pada pukul 2.27 pagi, 23 Februari 2023 bersamaan 2 Syaaban 1444H,” jelas hantaran itu.
Dilaporkan bekas Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu kembali ke rahmatullah kerana kompilasi berkait rapat dengan prosedur pembedahannya sebelum ini.
Allahyarham dilantik sebagai Pengerusi IKIM pada Februari tahun lalu.
Ikuti platform media sosial rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan seperti berikut:
Facebook: https://fb.com/dsaminuddinharun
Twitter: https://twitter.com/dsaminuddin
Instagram: https://instagram.com/dsaminuddinharun
