Malaysia Pengimport Bersih Bahan Api Turut Terdedah Risiko Pasaran Global – Tengku Taufik

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz ketika menjadi panel Bicara Naratif Khas: Mendepani Cabaran Krisis Tenaga Global di TV1 pada 3 April 2026. Foto Shahril Sarapudin
KUALA LUMPUR, 3 Apr – Walaupun status Malaysia sebagai pengeksport bersih tenaga memberikan kelebihan tertentu, namun negara masih tidak kebal daripada kejutan luaran yang dipacu oleh dinamik pasaran global.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz, memberi peringatan berkenaan sambil menegaskan bahawa walaupun kedudukan itu memberi sedikit kelebihan, Malaysia tetap terdedah kepada perubahan yang berlaku dalam landskap tenaga dunia yang semakin mencabar.

“Walaupun tahap kebergantungan import tenaga dianggarkan sekitar 40 peratus lebih rendah berbanding beberapa negara Asia lain, Malaysia tetap tidak terlepas daripada kesan kejutan pasaran global.
“Justeru, keutamaan perlu diberikan kepada daya tahan sistem tenaga negara serta keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan landskap global yang semakin mencabar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel Bicara Naratif Khas: Mendepani Cabaran Krisis Tenaga Global di TV1 malam tadi.
Tengku Muhammad Taufik berkata, walaupun Malaysia mempunyai kelebihan melalui eksport gas asli, realitinya bagi minyak mentah, negara tidak lagi berada dalam kedudukan seperti era 1990-an hingga awal 2000-an sebagai pengeksport bersih.
Beliau berkata, sejak dua dekad lalu, pengeluaran minyak domestik menunjukkan trend penurunan, manakala permintaan terus meningkat seiring keperluan semasa.
Malah katanya sejak 2014, Malaysia telah menjadi pengimport bersih minyak mentah, sekali gus mencerminkan perubahan dalam struktur bekalan tenaga negara.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web



