Malaysia, Indonesia Sepakat Percepat Kerjasama Ekonomi, Pendidikan, Budaya – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Presiden Indonesia Prabowo Subianto di Istana Merdeka, Jakarta pada 27 Jun 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
JAKARTA, 28 Jun – Malaysia dan Indonesia secara sebulat suara bersetuju untuk mempercepatkan kerjasama dalam bidang pendidikan, ekonomi dan kebudayaan demi manfaat bersama.
Menerusi hantaran di Facebook, hasil pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto di Istana Merdeka di sini, beliau berkata, langkah mempergiat kerjasama ini akan membuka lebih banyak peluang pertukaran pengetahuan, peningkatan perdagangan, dan pelaburan serta pemerkayaan budaya kedua-dua negara.
Menurutnya, dalam semangat saling percaya, kedua-dua negara turut berazam untuk menyelesaikan isu-isu sempadan yang masih tertangguh dengan segera.

“Penyelesaian tuntas masalah sempadan termasuk isu maritim yang berlarutan menjadi keutamaan bersama agar kepentingan besar persahabatan dan kerjasama erat Malaysia-Indonesia sentiasa terpelihara.
“Pendekatan menang-menang (win-win solution) ini diharap dapat memperkukuh keyakinan dan kepercayaan antara kedua-dua negara tetangga serumpun,” katanya.
Anwar berkata, sebagai dua negara pengasas ASEAN, Malaysia dan Indonesia menegaskan komitmen teguh untuk memastikan perpaduan serantau terus dipelihara dan kestabilan ASEAN dikekalkan.

“Kami sependapat bahawa ASEAN yang bersatu padu dan stabil amat penting dalam menghadapi cabaran global semasa, sama ada dari segi ekonomi, politik mahupun keselamatan.
“Dalam pertemuan ini, kedua-dua pihak mempertegas bahawa kerjasama serantau harus diperkukuh, selaras dengan semangat kejiranan dan keutuhan ASEAN demi Asia Tenggara yang aman, makmur dan berdaya saing.
“Lantas hubungan erat Malaysia-Indonesia akan terus dijadikan teladan dan pemangkin kepada kesatuan ASEAN yang lebih utuh, demi kesejahteraan rakyat kedua-dua negara dan rantau secara keseluruhan,” katanya.

Menteri-menteri Kabinet yang menganggotai delegasi dari Malaysia terdiri daripada Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil; Menteri Pelaburan, Perdagangan, dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Sementara itu, Anwar berkata, usai pertemuan tertutup bersama Presiden Prabowo semalam dalam rangka lawatan rasmi, kedua-dua mereka telah memberi kenyataan secara bersama.
Katanya, ia merumuskan hasil perbincangan secara mendalam mencakup perkara dua hala Malaysia-Indonesia, isu serantau ASEAN, hingga ke permasalahan tantangan global.

“Kami bertukar pandangan secara terbuka dan mendapati bahawa Malaysia dan Indonesia berkongsi pendirian yang sama dalam menangani isu-isu tersebut.
“Keserasian di sudut pandang ini mencerminkan hubungan persahabatan yang akrab serta hubungan strategik yang terjalin kukuh antara kedua-dua negara,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
