Malaysia Hargai Peranan Presiden Sisi, Mesir Permudah Bantuan Kemanusiaan Ke Gaza – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi perbualan telefon dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi, di pejabatnya semalam. Foto Facebook Anwar Ibrahim
PUTRAJAYA, 23 Feb – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia bersetuju meningkatkan bantuan kewangan kepada Agensi Bantuan dan Kerja untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) selepas beberapa negara besar menghentikan sumbangan mereka.
Perdana Menteri berkongsi perkembangan itu dalam perbualannya bersama Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi semalam dan memaklumkan, Malaysia juga baru-baru ini menyumbang tambahan AS$2.1 juta (RM10 juta) kepada UNRWA.
Dalam hantaran di Facebook hari ini, Anwar berkata, bantuan AS$250,000 turut disalurkan Malaysia kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir dan AS$500,000 kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin.
“Petang semalam, saya sempat berhubung dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi. Dalam perbualan telefon itu, saya zahirkan ucapan tahniah atas kemenangannya dalam pilihan raya Mesir.
“Saya turut sampaikan penghargaan buat Presiden Sisi dan Kerajaan Mesir atas peranan penting mereka membantu mempermudahkan urusan penghantaran 100 tan bantuan kemanusiaan bernilai AS$1.2 juta dari Malaysia kepada warga Palestin di Gaza,” kata Perdana Menteri.

Katanya, beliau dan Sisi senada dalam menzahirkan komitmen berterusan membantu penduduk di Palestin, malah ketika ini, beberapa Ahli Parlimen Malaysia daripada blok kerajaan dan pembangkang berada di Rafah.
Delegasi Malaysia dalam lawatan khas ke Mesir bermula kelmarin hingga esok, diketuai Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin.
Ia disertai Ahli Parlimen KEADILAN Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh; Ahli Parlimen Pas Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman; Ahli Parlimen UMNO Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy dan Ahli Dewan Negara, Datuk Dr Mohd Hatta Mohd Ramli daripada Parti Amanah Negara (AMANAH).
Menurut Perdana Menteri, mereka ke negara berkenaan bagi menyatakan sokongan buat Mesir dan membantu urusan penghantaran bantuan kemanusiaan dari Malysia ke Gaza.
“Alhamdulillah, Presiden Sisi dan Kerajaan Mesir membantu urusan wakil kita dan semua Ahli Parlimen Malaysia telah diberi kebenaran untuk mengunjungi sempadan Rafah,” katanya.
Dalam perbualan itu, kedua-dua pemimpin turut menzahirkan komitmen untuk terus memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Mesir, bukan saja mengenai isu Palestin, bahkan merangkumi soal perdagangan dan ekonomi untuk membawa persahabatan ke tingkat lebih tinggi.
“Saya juga jemput Presiden Sisi untuk berkunjung ke Malaysia,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
