Malaysia Aviation Group Kurangkan Rangkaian Penerbangan Sehingga Disember

Pesawat MAS MH 128 dari Melbourne ke Kuala Lumpur terpaksa mendarat cemas di Alice Springs, Australia ekoran masalah enjin pada Selasa. Foto Arkib

KUALA LUMPUR, 24 OgosMalaysia Aviation Group (MAG) akan mengurangkan rangkaian penerbangannya untuk sementara waktu sehingga Disember ini.

Langkah itu juga sebagai susulan kepada gangguan penerbangan pada minggu 19 Ogos lalu yang membabitkan perkhidmatan Malaysia Airlines, Firefly dan Amal.

Pengarah Urusan Kumpulan MAG, Datuk Kapten Izham Ismail berkata tindakan itu bagi melaksanakan langkah-langkah sewajarnya yang diperlukan untuk menangani insiden berkenaan.

“Tindakan ini bagi memastikan kebolehpercayaan jangka panjang terhadap kumpulan pesawat dan keteguhan operasi kami.

“Ini juga bagi meningkatkan keupayaan dalam memastikan pelanggan perkhidmatan Malaysia Airlines, Firefly dan Amal mengalami gangguan minimum serta menikmati pengalaman penerbangan terbaik bersama kami,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Izham turut menzahirkan rasa kesal di atas kesukaran dihadapi pelanggan susulan pembatalan penerbangan.

Pelanggan terbabit akan menerima notifikasi emel berkaitan pembatalan penerbangan dan disusuli jadual yang dikemas kini.

“Mereka boleh membuat pindaan segera terhadap tempahan mengikut alternatif pilihan dengan menggunakan kemudahan ‘My Booking’ di laman sesawang kami di pautan https://www.malaysiaairlines.com/my/en/home.html.,” katanya.

Dalam kenyataan berasingan, MAG menjelaskan penerbangan terjejas pada 16 Ogos lalu disebabkan pelbagai faktor yang mengakibatkan peningkatan kelewatan dan pembatalan penerbangan perkhidmatan Malaysia Airlines dan Firefly.

Izham berkata, keadaan itu disebabkan oleh cuaca, cabaran teknikal dan tenaga kerja, kekangan rantaian bekalan dan normalisasi berterusan membabitkan operasi penerbangan global dalam tempoh pasca pandemik.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *