Malam Santai Anak Muda Sungai Duri Cetus Sokongan Kepada Cikgu Joohari

Timbalan Ketua Cabang KEADILAN Nibong Tebal, Haji Wan Mohd Kamil Abu Bakar atau lebih dikenali dengan Haji Wan merasmikan program Malam Santai Anak Muda Sungai Duri di Dewan MPKK Sungai Duri, Sungai Bakap pada Isnin.

NIBONG TEBAL, 1 Jul – Memasuki hari kesepuluh berkempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap, program Malam Santai Anak Muda Sungai Duri dilancarkan malam ini khusus buat golongan itu memanfaatkan masa dengan aktiviti berfaedah.

Program yang disokong Setiausaha Agung KEADILAN Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Setiausaha Politiknya Mohd Yahya Mat Shari ini bertujuan mengumpulkan anak-anak muda sekitar Daerah Mengundi (DM) Sungai Duri mengisi masa dengan pelbagai aktiviti seperti dam dan karom selain berbincang tentang hal-hal semasa.

Sekumpulan anak muda sekitar Sungai Duri bermain karom mengisi masa lapang dalam Program Malam Santai Anak Muda Sungai Duri di Dewan MPKK pada Isnin.

Bertempat di perkarangan Dewan MPKK Sungai Duri, program berkenaan diadakan setiap malam bermula jam 8.30 dengan memfokuskan tentang aktiviti sihat bersama mereka dan kaum keluarga.

Program itu dirasmikan Timbalan Ketua Cabang KEADILAN Nibong Tebal Haji Wan Mohd Kamil Abu Bakar atau lebih dikenali dengan Haji Wan dengan sasaran penyertaan kira-kira 50 anak muda setiap malam sepanjang kempen PRK.

Salah seorang anak muda yang ditemui, Acap menyifatkan ia suatu inisiatif bermanfaat bagi mereka mendapatkan maklumat semasa berkaitan PRK DUN Sungai Bakap selain bertukar-tukar pandangan semasa dalam permainan yang disediakan.

Golongan belia muda wanita turut tidak ketinggalan bermain permainan dam pada malam pelancaran Malam Santai Anak Muda Sungai Duri di Dewan MPKK Sungai Duri pada Isnin.

“Cetusan idea Datuk Seri Saifuddin dan abang Pak Ya (Yahya Sahri) amat baik memandangkan sebelum ini aktiviti malam anak muda agak terhad dan tiada platform bersesuaian untuk mereka berkongsi pandangan dan memberi sokongan kepada calon Pakatan Harapan (PH) Cikgu Joohari Ariffin.

“Saya berharap dan mengajak anak-anak muda sekitar Sungai Duri dan Sungai Baong turun beramai-ramai memeriahkan malam santai yang amat bermanfaat kepada mereka,” katanya.

Sementara itu penyelaras program, Salehan menyeru anak-anak muda mengisi masa lapang mereka dengan aktiviti berfaedah bagi merapatkan hubungan selain membina jati diri masing-masing menerusi penganjuran program yang sesuai buat seisi keluarga.

Meja karom berpasukan dimainkan sekumpulan anak muda sekitar Sungai Duri sempena pelancaran Malam Santai Anak Muda Sungai Duri di Dewan MPKK Sungai Duri pada Isnin.

“Anak muda perlu didedahkan dengan pemahaman asas kenegaraan dan memahami aspirasi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membantu anak muda dalam pelbagai program kerajaan seperti TVET, Rakan Muda dan sebagainya,” katanya.

Difahamkan program ini akan mensasarkan penglibatan mereka dalam pemahaman diri tentang aktiviti dan inisiatif kerajaan yang boleh dimanfaatkan demi kebaikan bersama.

Program ini turut mendapat sokongan daripada belia DM Sungai Bakap yang berharap ia akan diteruskan dan dijadikan program tetap setiap malam bagi mengelak mereka terjerumus kepada aktiviti tidak sihat.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *