Majlis Kesyukuran Rai Kemenangan 3-0 DUN Dalam Parlimen Papar Meriah

Datuk Armizan Mohd Ali selaku ‘arkitek’ kemenangan 3-0 GRS bagi DUN dalam Parlimen Papar menyantuni pengundi dalam majlis kesyukuran GRS DUN Kawang pada 13 Disember 2025. Foto Armizan Mohd Ali
PAPAR, 15 Dis – Sebagai menghargai para pengundi yang memberi sokongan padu ketika Pilihan Raya Umum Sabah ke-17 (PRU17) baru-baru ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang, Dato Sri Ghulam Haidar Khan Bahadar mengadakan majlis kesyukuran di kediamannya di Kg Santing, di sini kelmarin.
Acara santai bermula kira-kira jam 4 petang itu dihadiri lebih 1,000 rakyat pelbagai kaum di Kawang dan sekitarnya, bagi meraikan kemenangan menyapu bersih ketiga-tiga DUN dalam parlimen Papar.
Hadir sama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merangkap Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali dan ADUN Pantai Manis, Datuk Pengiran Saifuddin Pengiran Tahir Petra.

Sejumlah tokoh masyarakat tempatan dan pemimpin Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) juga turut hadir.
Ghulam yang dikenali sebagai pemimpin berbakat menyanyi, turut menghiburkan tetamu dengan beberapa lagu `evergreen’.
Dua daripada lagu yang mencuit hati orang ramai ialah ‘Pujaan Hatiku’ dan ‘Cinta 100 Persen’.

Armizan turut dijemput oleh Ghulam untuk menyanyikan sebuah lagu, diikuti beberapa pemimpin dan tetamu lain.
Dalam ucapannya, Ghulam menyatakan penghargaan kepada seluruh warga Kawang yang memberikan sokongan kepadanya sehingga membawa kepada kemenangan dengan majoriti besar 8,763 undi.
Beliau menyifatkan kemenangan itu sebagai kemenangan bersama kerana dicapai hasil kerjasama semua pihak, termasuk jentera parti.

“Ia juga atas doa yang tidak putus-putus dari rakyat Kawang yang tercinta, yang menjadi `Pujaan Hatiku’ sejak dulu, kini dan selamanya.
“Kemenangan ini adalah bukti bahawa apabila kita bersatu dan bermuafakat, saling membahu antara satu sama lain, maka kejayaan boleh dicapai,” katanya.
Ghulam berkata persiapan menghadapi PRU16 sama penting demi mempertahankan kawasan Parlimen Papar yang sekarang diwakili oleh Armizan.

Beliau optimis Papar akan mengukir kemenangan lebih manis berikutan ketiga-tiga DUN dalam kawasannya, iaitu Kawang, Limbahau dan Pantai Manis, kini diwakili oleh GRS.
“Marilah kita bangunkan kawasan kita dengan hati penuh keikhlasan dan fikiran yang terbuka—kerana kita bekerja bukan untuk nama, tetapi untuk rakyat, dan berjuang bukan kerana kuasa, tetapi demi amanah,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
