Mahmoud Tegaskan Hanya AS Boleh Hentikan Serangan Israel Di Gaza

Presiden Palestin Mahmoud Abbas berucap ringkas semasa sesi pengenalan pada Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Riyadh, Arab Saudi. Foto Reuters

RIYADH, 28 Apr – Presiden Palestin, Mahmoud Abbas hari ini berkata, hanya Amerika Syarikat (AS) boleh menghentikan serangan Israel di bandar dekat Rafah di Gaza.

Katanya, serangan yang dijangka dalam tempoh beberapa hari lagi itu boleh mengakibatkan sebahagian besar penduduk Palestin meninggalkan kawasan itu.

“Kami menyeru Amerika Syarikat (AS) meminta Israel tidak meneruskan serangan ke atas Rafah. AS satu-satunya negara yang dapat menghalang Israel daripada melakukan jenayah ini,” Abbas berkata demikian pada Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) di ibu negara Arab Saudi, di Riyadh.

Israel yang berminggu-minggu melancarkan serangan habis-habisan ke atas kawasan kejiranan dengan menyatakan matlamatnya untuk memusnahkan baki batalion Hamas di sana, meningkatkan serangan udara ke atas Rafah minggu lalu.

Presiden Palestin Mahmoud Abbas berucap ringkas semasa sesi pengenalan pada Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Riyadh, Arab Saudi. Foto Reuters

Negara Barat termasuk sekutu terdekat Israel iaitu AS merayu supaya serangan ke atas bandar di bahagian selatan yang bersempadan dengan Mesir tidak diteruskan.

Rafah menjadi tempat lebih sejuta rakyat Palestin berlindung daripada serangan berterusan Israel, sejak tujuh bulan lalu.

Tambahnya, cukup dengan serangan kecil ke atas Rafah untuk memaksa penduduk Palestin meninggalkan Gaza.

“Malapetaka terbesar dalam sejarah rakyat Palestin akan berlaku,” katanya.

Mahmoud Abbas turut mengulangi pendiriannya menolak pengusiran penduduk Palestin ke Jordan dan Mesir.

Katanya, beliau turut bimbang sebaik Israel menamatkan operasinya di Gaza, ia kemudian akan cuba memaksa penduduk Palestin keluar dari Tebing Barat dan memasuki ke Jordan.

Pelarian Palestin terutama kanak-kanak menulis ucapan terima kasih kepada pelajar universiti di AS yang memprotes menyokong Palestin di khemah pelarian dekat Rafah.

Pejuang Hamas sebelum ini memulakan serangan ke atas Israel pada 7 Oktober lalu.

Menurut Israel, dalam serangan itu, sejumlah 1,200 orang maut dan Hamas turut menahan kira-kira 253 tebusan yang dibawa ke Gaza.

Susulan itu, Israel bertindak balas mengakibatkan lebih daripada 34,000 rakyat Palestin terbunuh, mengikut data dikeluarkan Kementerian Kesihatan Gaza. – REUTERS


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *