Maal Hijrah 1444H – Kerajaan Gagal Terap Nilai Keadilan Dalam Masyarakat

KUALA LUMPUR, 29 Jul – Walaupun tema sambutan Maal Hijrah 1444H tahun ini ialah ‘Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran’, namun ia gagal diterjemahkan ke dalam bentuk pelaksanaan malah dilihat sekadar retorik semata-mata.

Menurut Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju, Andre Lai, umumnya masyarakat Malaysia bersifat inklusif yang bermaksud kepelbagaian etnik, agama dan berbilang bangsa merupakan elemen yang menjadi kunci pada kemakmuran negara. Penduduk Parlimen Wangsa Maju juga katanya, terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.

“Selaku pemimpin setempat, dalam parti KEADILAN, kami senantiasa menjunjung konsep dan mengutamakan aspirasi keluarga besar dalam masyarakat berbilang kaum dan agama selari dengan konsep yang pernah dibawa pada zaman Rasulullah S.A.W.

“Namun begitu, kerajaan hari ini masih gagal menerapkan nilai-nilai murni dalam pentadbiran ’Keluarga Malaysia’ yang dicanang mereka sendiri.

“Acapkali terjadi layanan ‘double standard‘ antara dua kumpulan masyarakat. Bukan itu saja, jurang perbezaan antara kelas atasan dan bawahan sangat ketara, di mana keadilannya?,” ujarnya menerusi kenyataan media pada Jumaat.

Beliau mempersoalkan bagaimana hendak datangnya istilah kemakmuran sekiranya kek kekayaan tidak dapat dirasai semua golongan kerana masih banyak kumpulan yang tercicir memerlukan bantuan sewajarnya namun tidak dipeduli akibat keterujaan pemilik kuasa mengejar agenda peribadi.

“Kita boleh lihat keadaan saudara kita di Sabah dan Sarawak. Masih bergelut dengan kemudahan infrastruktur dan fasiliti asas. Sebuah keluarga tidak akan makmur dan tenteram jika ahli di dalamnya sering dipinggirkan.

“Sungguhpun begitu, kami di Wangsa Maju akan sedaya upaya memastikan tiada yang tertinggal dalam perjuangan kita mereformasikan hala tuju negara. Ayuh Malaysia, Ayuh Reformasi,” tambah Andre.

Beliau tidak ketinggalan mengucapkan Selamat Menyambut Maal Hijrah 1444H kepada seluruh umat Islam sempena tahun baharu buat umat Islam yang akan disambut pada Sabtu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *