Lori Lebih Muatan Langgar Trak FRU Antara Punca Nahas Ragut Sembilan Nyawa – Laporan JPJ

Laporan nahas mengorbankan sembilan anggota FRU di Teluk Intan didedahkan JPJ pada 12 Jun 2025.
KUALA LUMPUR, 12 Jun – Muatan lebih yang dibawa lori tipper turut menjadi punca kepada nahas yang meragut sembilan nyawa anggota Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak bulan lalu.
Punca tersebut adalah berdasarkan laporan teknikal kenderaan Bahagian Kejuruteraan Automotif Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Ini kerana kata laporan itu, kenderaan tersebut berkemungkinan telah bergerak di atas jalan raya dalam keadaan membawa lebihan muatan sebanyak 70.67 peratus lebih tinggi sekaligus meningkatkan tenaga kinetik pada kenderaan tersebut.

Jelas laporan itu, ketika kejadian lori tipper berkenaan membawa muatan BDM 40,960 kilogram (kg) berbanding had yang dibenarkan (BDM 24,000 kg).
Sesebuah kenderaan dengan BDM 24,000 kg yang bergerak pada kelajuan 30 km/j dianggarkan menghasilkan tenaga kinetik sebanyak 833 kJ sedangkan kenderaan dengan BDM 40,960 kg dianggarkan akan menghasilkan tenaga kinetik 1,422 kJ pada kelajuan yang sama.
“Selain berat, tenaga kinetik juga akan menjadi lebih tinggi jika kelajuan bertambah. Berat dan kelajuan yang lebih tinggi akan mengakibatkan impak yang lebih tinggi dalam kes kemalangan dan mengalihkan jumlah tenaga yang lebih tinggi terhadap manusia bagi setiap saat,” kata laporan itu hari ini.
Berdasarkan laporan itu juga, trak FRU pula didapati tidak mempunyai tali pinggang keledar di setiap tempat duduk yang ada pada kenderaan.
“Ia termasuklah pemandu dan kebanyakan penumpang di tempatkan di ruangan
kargo pada tempat duduk jenis ‘bench’ yang pembuatannya dipercayai tidak memenuhi spesifikasi Peraturan UN No. 17 atau Peraturan UN No. 80.
“Kedua-dua faktor ini dipercayai menjadi punca kehilangan banyak nyawa dan kecederaan parah kepada kesemua orang yang terlibat dalam kemalangan tersebut,” katanya.
Terdahulu, pada 13 Mei lalu, sebuah kemalangan tragis berlaku di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak, melibatkan trak yang dinaiki anggota FRU dan sebuah lori muatan batu.
Kemalangan tersebut berlaku sekitar pukul 8.50 pagi dan mengakibatkan sembilan anggota FRU maut, manakala beberapa yang lain mengalami kecederaan serius.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

