Lintasan Rafah Di Gaza Dibuka Secara Berperingkat

Trak membawa bekalan penting dijangka melintasi sempadan Rafah di sebelah Mesir menuju Gaza yang dibuka secara berperingkat mulai 1 Februari 2026. Foto AP
KAHERAH, 1 Feb – Sebahagian lintasan Rafah antara Semenanjung Gaza dan Mesir yang musnah akibat perang, dibuka semula secara berperingkat mulai hari ini.
Ia susulan gesaan daripada pertubuhan kemanusiaan selama berbulan-bulan, namun akses akan dihadkan kepada pergerakan individu sahaja.
Pembukaan semula itu berlaku ketika keganasan berterusan di wilayah Palestin, dengan agensi pertahanan awam Gaza melaporkan puluhan orang terbunuh dalam serangan Israel, semalam.

Lintasan Rafah adalah pintu masuk penting bagi orang awam dan bantuan kemanusiaan, namun kekal ditutup sejak tentera Israel menguasainya pada Mei 2024 ketika perang dengan Hamas, kecuali pembukaan singkat dan terhad pada awal 2025.
Israel sebelum ini menyatakan ia tidak akan membuka semula lintasan itu sehingga jenazah Ran Gvili, tebusan Israel terakhir yang ditahan di Gaza dikembalikan.
Jenazahnya ditemukan beberapa hari lalu dan dikebumikan di Israel, Rabu lalu.
“Lintasan Rafah akan dibuka pada Ahad ini (1 Februari) bagi pergerakan terhad individu sahaja, di kedua-dua arah,” kata COGAT, badan Kementerian Pertahanan Israel yang menyelia hal ehwal awam di wilayah Palestin.
Kebenaran masuk dan keluar akan diselaraskan bersama Mesir, selepas kelulusan keselamatan awal individu oleh Israel, serta di bawah penyeliaan misi Kesatuan Eropah,” tambahnya.
Bagaimanapun, beberapa perincian utama masih belum jelas, termasuk jumlah individu yang dibenarkan melintasi lintasan itu dan sama ada mereka yang ingin kembali ke Gaza akan dibenarkan masuk.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

