Letupan Stesen Minyak Di Ireland Ragut Tiga Nyawa

DUBLIN, 8 Okt – Tiga maut dalam satu letupan di sebuah stesen minyak di County Donegal semalam dan penyelamat kini sedang berusaha mencari mangsa yang terselamat.
Dalam kenyataan semalam, polis masih tidak mendedahkan punca letupan itu, malah berkata mereka belum berada dalam kedudukan untuk memberikan maklumat lanjut mengenai mangsa.
Mereka yang cedera bagaimanapun sudah dibawa ke Hospital Universiti Letterkenny dan tragedi itu mencetuskan protokol kecemasan utama berikutan terpaksa berurusan dengan ramai yang cedera.
Letupan itu difahamkan berlaku sejurus selepas jam 3 petang waktu tempatan di stesen servis Applegreen di pinggir kampung Creeslough, iaitu sekitar 25 kilometer (km) dari bandar Letterkenny.
Gambar dari tempat kejadian turut menunjukkan sebuah unit kediaman di atas stor stesen servis itu pecah dan sebahagian bumbungnya runtuh manakala serpihan bertaburan di bahagian hadapan tempat letak kereta.
Pengawal Pantai Ireland berkata, helikopter juga dikerahkan untuk membantu perkhidmatan kecemasan dan pasukan pakar penyelamat dihantar ke tempat kejadian dari Ireland Utara.
Sementara itu, Ahli Parlimen Sinn Fein, Pearse Doherty, berkata tempat kejadian di mana berlaku ‘letupan yang dahsyat’ didianggap sebagai ‘lokasi yang sangat sibuk’.
Doherty berkata, ‘letupan besar’ kedengaran dari beberapa km dan selepas beberapa jam kemudian, orang ramai masih terperangkap dalam bangunan dengan beberapa orang cuba menghubungi perkhidmatan kecemasan.
Beliau berkata, stesen minyak itu adalah satu-satunya kedai di kampung itu dan turut menempatkan pejabat pos dan premis dandanan rambut.
“Semua orang mengharapkan yang terbaik tetapi ini adalah letupan yang dahsyat, ia merobek bangunan terbabit dan ia adalah lokasi yang sangat sibuk pada masa itu,” katanya kepada penyiar nasional RTE dari lokasi kejadian. – REUTERS
