Lepas Hamzah, Bersatu Pecat Wan Fayhsal

(Dari kiri) Ahli Parlimen Padang Rengas Azahari Hasan, Ahli Parlimen Gerik Fathul Huzir Ayob dan Ahli Parlimen Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dipecat dari Bersatu pada 13 Februari 2026.
KUALA LUMPUR, 13 Feb – Selepas ahli parlimen Larut merangkap Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin dipecat, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad yang sebelum ini digantung keahliannya dalam parti, turut mengalami nasib serupa.
Turut mengalami nasib serupa ialah ahli parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob yang mengesahkan bahawa beliau dipecat, manakala ahli parlimen Padang Rengas, Azahari Hasan turut dipecat serta-merta.
Dalam satu notis dikeluarkan Lembaga Disiplin parti itu, bekas Ketua Armada Bersatu itu dipecat keahliannya dalam parti kerana melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan parti itu.

Notis pemecatan serta-merta bertarikh hari ini dikeluarkan dan ditandatangani Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohd Radzi Manan.
Bersatu turut memecat beberapa lagi pemimpinnya hari ini yang dikaitkan dengan usaha menyingkirkan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yasin.
Radzi menyatakan bahawa ketiga-tiga Ahli Parlimen itu melanggar Fasal 9.1.4 perlembagaan parti, peruntukan yang sama dirujuk dalam pemecatan Hamzah.

Fasal itu memperuntukkan bahawa ahli Bersatu hendaklah mematuhi perlembagaan, kod etika dan tatakelakuan parti.
Fathul dan Azahari adalah antara 16 Ahli Parlimen Bersatu yang menyokong gesaan Naib Presiden parti, Ronald Kiandee, supaya Muhyiddin Yassin berundur sebagai presiden dan digantikan oleh timbalannya, Hamzah.
Turut dipecat hari ini ialah Setiausaha Bersatu Sabah, Yunus Nurdin, yang sebelum ini turut menggesa Muhyiddin letak jawatan.
Sejak beberapa bulan lalu, Bersatu dilanda kemelut dalaman di tengah-tengah krisis kepimpinan antara Muhyiddin dan Hamzah.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan, dan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin Abdullah, masing-masing telah dipecat daripada parti pada Oktober dan Januari lalu.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
