Lelaki 72 Tahun Tidak Sedarkan Diri, Meninggal Dunia Dalam Flat

Polis berkata mereka dimaklumkan mengenai kes kematian luar biasa di Blok 111 Tampines Street 11 sekitar 3.40 petang 9 Ogos 2026. Foto hiasan

SINGAPURA, 9 Ogos – Seorang lelaki berusia 72 tahun ditemui tidak sedarkan diri di sebuah unit flat di Tampines pada petang Ahad 9 Ogos, selepas anggota keluarganya gagal menghubungi beliau.

Polis berkata mereka dimaklumkan mengenai kes kematian luar biasa di Blok 111 Tampines Street 11 sekitar 3.40 petang.

Lelaki itu yang dikenal pasti keluarganya sebagai Allahyarham Salehudin Attan, ditemui terbaring tidak sedarkan diri di dalam unit kediamannya dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Berdasarkan siasatan awal, polis tidak mengesyaki sebarang unsur jenayah. Siasatan masih diteruskan.

Anak saudara Allahyarham, Sjaiful Sjahrin Mohamed Said, 53 tahun, berkata beliau tinggal bersama ibunya, Jamaliah Attan, 75, tahun yang merupakan kakak kepada Allahyarham, di unit yang terletak satu tingkat atas rumah Allahyarham.

Menurut Sjaiful, seorang jiran yang tinggal berhadapan rumah Allahyarham telah memberitahunya pada pagi 9 Ogos bahawa terdapat orang mengetuk rumah pak ciknya sekitar 4 petang hari sebelumnya dan sekali lagi sekitar 6 pagi pada hari itu, namun tiada respons.

Jiran itu turut memberitahu Sjaiful bahawa beliau terhidu bau yang kurang menyenangkan dari rumah Allahyarham.

Sjaiful kemudian cuba menghubungi bapa saudaranya melalui telefon dan WhatsApp namun tidak mendapat respons.

Beliau berkata, keadaan itu tidak semestinya dianggap luar biasa kerana Allahyarham Salehudin kadangkala tidak menjawab panggilan atau mesej, malah mereka ada kalanya tidak mendengar khabar daripadanya selama tempoh seminggu atau dua minggu.

Namun, Jamaliah sudah sekitar sebulan tidak melihat adiknya sebelum menghubungi seorang lagi adiknya, Sharuddin Attan, 67 tahun, untuk meminta beliau memeriksa keadaan Allahyarham Salehudin.

Sharuddin kemudian pergi ke unit abangnya bersama Sjaiful dan menggunakan kunci yang diberikan Jamaliah untuk membuka pintu.

Beliau menemui Allahyarham Salehudin terbaring di dalam sebuah bilik sebelum menghubungi polis.

Sjaiful berkata kali terakhir beliau berhubung dengan Allahyarham melalui WhatsApp ialah pada pertengahan Julai, ketika bertanya sama ada bapa saudaranya memerlukan apa-apa dari Johor Bahru.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *