Lebih 33,000 Hadir Sambutan Aidilfitri MADANI 2024 Di Sabah

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) bersalaman dengan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin ketika menghadiri sambutan Aidilfitri MADANI Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu, hari ini. Foto Bernama

KOTA KINABALU, 20 Apr – Lebih 33,000 orang hadir pada majlis sambutan Aidilfitri MADANI Peringkat Kebangsaan 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.

Majlis berkenaan dirasmikan Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin dan turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Anwar tiba jam 12:05 tengah hari selepas menghadiri mesyuarat Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) di The Magellan Sutera Resort dan taklimat pembangunan Sabah di Menara Kinabalu.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata majlis berkenaan yang dianjurkan kementeriannya dan kerajaan negeri Sabah berjalan lancar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) bersalaman dengan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin ketika menghadiri sambutan Aidilfitri MADANI Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu, hari ini. Foto Bernama

“Program ini amat hebat (mendapat sambutan baik). Saya berterima kasih kepada semua pengunjung terutama sekali Perdana Menteri, Yang di-Pertua Negeri Sabah yang datang bersama-sama kita merayakan Aidilfitri.

“Saya difahamkan lebih 33,000 orang yang berkunjung ke sini, mungkin juga lebih (daripada 33,000 orang). Anggaran gerai pula sebanyak lebih dari 100 buah,” katanya selepas sambutan majlis berkenaan sebentar tadi.

Aaron menyatakan harapan agar program seumpama ini dapat dilaksanakan lagi pihaknya selepas ini berikutan sambutan baik dari kalangan rakyat.

“Kita berharap tahun depan dilaksanakan tapi mungkin bukan kita penganjur, mungkin kementerian lain akan jadi penganjur,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan sambutan Aidilfitri MADANI 2024 bersama Perdana Menteri diadakan di tujuh negeri bermula di Johor, kelmarin.

Selepas ini, ia akan diadakan di Melaka pada Isnin ini, diikuti Kelantan (2 Mei), Kedah (4 Mei), Pulau Pinang (5 Mei) dan berakhir di Terengganu pada 9 Mei.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *