Lebih 100,000 Pengunjung Hadir, Capai Sasaran Sambutan Hari Kebangsaan 2023

Perarakan lebih 17 ribu kontinjen pelbagai agensi kerajaan dan swasta memukau lebih 100 ribu hadirin yang membanjiri Dataran Putrajaya sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2023 yang sungguh meriah. Foto Facebook Fahmi Fadzil


PUTRAJAYA, 31 Ogos – Penganjuran Hari Kebangsaan 2023 mencapai sasaran apabila lebih 100,000 pengunjung membanjiri Dataran Putrajaya bagi memeriahkan sambutan yang julung kali diadakan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengesahkan perkara berkenaan, Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi Fadzil berkata, kemeriahan sambutan bukan hanya dirasai oleh rakyat daripada pelbagai negeri bahkan dalam kalangan pemimpin negara yang hadir memeriahkan acara pada hari ini.

Jelas beliau, kehadiran serta sokongan orang ramai dalam acara ini membuktikan semangat patriotik yang kekal subur dalam kalangan rakyat Malaysia pelbagai latar belakang.

Perarakan lebih 17 ribu kontinjen pelbagai agensi kerajaan dan swasta memukau lebih 100 ribu hadirin yang membanjiri Dataran Putrajaya sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2023 yang sungguh meriah. Foto Facebook Fahmi Fadzil

“Ada yang datang seawal lepas maghrib semalam. Ada dari Kedah, Perak, dari jauh dan dekat memang menambahkan seri acara kita hari ini,” katanya dalam sidang media selepas majlis sambutan selesai.

Sehubungan itu, Fahmi mengucapkan penghargaan kepada warga KKD yang bertungkus lumus berusaha menjayakan sambutan pada hari ini sejak Febuari yang lalu.

Sebagai rekod, sambutan kali ini dimeriahkan dengan persembahan Tim Akrobatik Army Red Warrior Tentera Darat Malaysia (TDM) dengan penglibatan 42 orang peserta dan penampilan khas 66 buah motosikal Royal Enfield.

Turut dipamerkan aksi terjunan tepat VAT69 Komando Polis Diraja Malaysia (PDRM), persembahan 400 ahli pasukan gendang pelbagai variasi, 36 kumpulan pancaragam dan persembahan khas Hari Kebangsaan 2023 bertajuk “Tekad Perpaduan Penuhi Harapan” oleh 1,500 orang peserta.

Acara perbarisan dan perarakan dijayakan oleh 17,262 orang peserta melibatkan 67 kontinjen yang dibahagikan kepada sembilan komponen iaitu kenegaraan, perpaduan Malaysia MADANI, ekonomi, perbankan, telekomunikasi, industri kreatif dan penyiaran, sukan negara, kesejahteraan serta keselamatan negara.

Selain itu, turut dipertontonkan ialah 534 aset kenderaan taktikal pelbagai guna serta aset haiwan sebanyak 100 ekor.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *