LCS – ‘Saman Saya Kalau Pendedahan Saya Tidak Benar’ – Rafizi

KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Rafizi Ramli mencabar Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Dr Abd Latiff Ahmad supaya memfailkan saman serta-merta terhadap dirinya jika semua dakwaan yang dikaitkan dengan Ahli Parlimen Mersing dan isterinya dalam penyelewengan projek kapal tempur pesisir (LCS) itu tidak benar.

Rafizi juga turut mendesak Abd Latiff supaya mengambil tindakan sama terhadap Boustead Heavy Industries Corporation Berhad (BHIC) yang mengeluarkan laporan forensik mengenai LCS dan Alliance IFA (M) Sdn Bhd yang bertindak sebagai juruaudit sekiranya semua pendedahan itu palsu.

Ini kerana katanya, jawapan balas terbaharu yang diberikan menteri kabinet itu bahawa isteri-isterinya tiada bernama Zainab Mohd Salleh yang dikaitkan dengan isu projek berkenaan disifatkan sebagai penafian di Facebook semata-mata.


“Apabila Abd Latiff hanya menafikan di Facebook, itu bermakna beliau menuduh juru audit yang dilantik Boustead Heavy Industries Corporation (BHIC), iaitu Alliance IFA (M) Sdn Bhd menipu, apabila laporan juru audit menamakan Zainab Mohd Salleh sebagai isteri beliau dan menunjukkan keterlibatan beliau dalam kontrak-kontrak projek LCS.

“Penafian Facebook Abd Latiff juga samalah seperti menuduh rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menipu, sedangkan rekod itu menunjukkan Abd Latiff mempunyai hubungan dengan Zainab Mohd Salleh melalui pemilikan bersama Mega P Asia Sdn. Bhd.

“Penafian mudah (tanpa menunjukkan sebarang fakta atau dokumen) adalah taktik biasa yang menjadi amalan pimpinan UMNO dan bekas UMNO (yang kini dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Semasa skandal SRC dan 1MDB mula-mula didedahkan pun, Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan mentah-mentah bahawa wang masuk ke akaun peribadinya. Apabila telah dibuktikan, barulah beliau menyebut wang itu dari derma hartawan Arab. Setelah disiasat, didapati pula wang itu datang dari tabung pencen rakyat,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.


Tambahnya, rakyat tidak lagi mempercayai penafian kosong oleh mana-mana menteri daripada UMNO atau Bersatu bersandarkan rekod sedia ada sebelum ini.

“Jika ini (saman) tidak diambil pada kadar segera, maka saya yakin Abd Latiff akan mengheret partinya Bersatu ke kancah kekalahan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana rakyat akan menghukum parti-parti yang melindungi watak-watak yang terlibat di dalam skandal LCS ini,” katanya.

Pada Jumaat, Abd Latiff sekali lagi menegaskan isteri-isterinya tiada yang bernama Zainab Mohd Salleh yang dikaitkan dengan isu projek LCS.

Menerusi laman Facebook pada Jumaat, Abd Latiff turut menegaskan, tiada ahli keluarganya yang terlibat dalam bisnes melibatkan pembekalan atau pembinaan kapal LCS.

Dari Rafizi Ramli
26 Ogos 2022

LATIFF AHMAD PERLU SAMAN AUDITOR, BHIC DAN SAYA

Penafian terbaru Datuk Latiff Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengenai pembabitan beliau (melalui syarikat-syarikat yang dikawal oleh isteri kedua beliau) yang dibuat pada hari ini, hanyalah penafian di Facebook.

Beliau tidak sedikit pun membidas fakta-fakta yang telah dikongsi dengan rakyat setakat ini:

1. Laporan Forensik Kapal LCS menamakan Zainab Mohd Salleh sebagai isteri beliau

2. Laporan Forensik Kapal LCS menamakan Zainab Mohd Salleh sebagai individu yang mengawal syarikat-syarikat palsu Alizes Marine yang mendapat kontrak membekalkan alat gantian sebanyak RM210 juta

3. Laporan Forensik Kapal LCS turut menamakan satu lagi syarikat, Mega P Asia Sdn Bhd sebagai syarikat yang dikawal oleh Zainab Mohd Salleh yang mendapat kontrak-kontrak pertahanan laut

4. Syarikat Mega P Asia Sdn Bhd ditubuhkan oleh Dr Latiff sendiri

5. Syarikat Mega P Asia Sdn Bhd dimiliki bersama oleh Dr Latiff dan Zainab Mohd Salleh

Apabila Dr. Latiff hanya menafikan di Facebook, itu bermakna beliau menuduh juru audit yang dilantik Boustead Heavy Industries Corporation (BHIC), iaitu Alliance IFA (M) Sdn Bhd menipu, apabila laporan juru audit menamakan Zainab Mohd Salleh sebagai isteri beliau dan menunjukkan keterlibatan Dr. Latiff dalam kontrak-kontrak projek LCS.

Penafian Facebook Dr. Latiff juga samalah seperti menuduh rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menipu, sedangkan rekod itu menunjukkan Dr. Latiff mempunyai hubungan dengan Zainab Mohd Salleh melalui pemilikan bersama Mega P Asia Sdn. Bhd.

Penafian mudah (tanpa menunjukkan sebarang fakta atau dokumen) adalah taktik biasa yang menjadi amalan pimpinan UMNO dan bekas UMNO (yang kini dalam BERSATU).

Semasa skandal SRC dan 1MDB mula-mula didedahkan pun, Dato’ Seri Najib Razak menafikan mentah-mentah bahawa wang masuk ke akaun peribadinya. Apabila telah dibuktikan, barulah beliau menyebut wang itu dari derma hartawan Arab. Setelah disiasat, didapati pula wang itu datang dari tabung pencen rakyat.

Sebab itu, rakyat tidak lagi boleh mempercayai penafian kosong oleh menteri-menteri UMNO dan BERSATU kerana rekod yang telah ada setakat ini.


Jika Dr. Latiff tidak ada kaitan dengan Zainab Mohd Salleh dan dia (atau keluarganya) tidak terlibat dengan kontrak-kontrak projek LCS atau pertahanan laut negara, beliau perlu mengambil tindakan saman dengan serta-merta ke atas BHIC (tuan punya Laporan Forensik Kapal LCS), Alliance IFA (M) Sdn Bhd (juru audit yang dilantik BHIC untuk menyiasat projek kapal LCS) dan saya (yang mendedahkan perkara ini).

Jika ini tidak diambil pada kadar segera, maka saya yakin Dr. Latiff akan mengheret partinya BERSATU ke kancah kekalahan dalam PRU15 kerana rakyat akan menghukum parti-parti yang melindungi watak-watak yang terlibat di dalam skandal LCS ini.

RAFIZI RAMLI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *