LCS – Akmal Buat Laporan Polis Terhadap Latiff Esok

JOHOR BAHRU, 28 Ogos – Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Akmal Nasir akan membuat satu laporan polis bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan di bawah Kanun Keseksaan sekiranya berlaku sebarang unsur salah guna kuasa, pecah amanah mahupun rasuah dalam skandal perolehan kapal perang tempur pesisir (LCS) esok.
Menerusi satu kenyataan media yang disiarkan pada Ahad, beliau akan membuat laporan berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi jam 10 pagi esok bagi mendesak pihak berkuasa menjalankan siasatan segera terhadap Latiff Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Tambah Akmal yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru, walaupun pendedahan yang dibuat oleh Timbalan Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli serta dibuktikan menerusi laporan juru audit dalaman telah menamakan Latiff, namun malangnya, tiada kesungguhan daripada pihak kerajaan mahupun parti berkenaan

Ini setelah desakan secara terbuka telah dibuat terhadap Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin, agar mengambil tindakan yang tegas terhadap menteri berkenaan.
“Umum mengetahui pendedahan yang dibuat oleh saudara Rafizi Ramli serta laporan juru audit dalaman telah menamakan YB Datuk Dr Latiff Ahmad iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri serta mantan Timbalan Menteri Pertahanan sebagai seorang yang terlibat dalam skandal kapal tempur LCS.
“Namun, penafian Menteri berkenaan sehinggalah saat ini hanyalah melalui kenyataan di Facebook tanpa mengemukakan apa-apa bukti yang kukuh.
“Maklumat pendedahan mengatakan bahawa YB Datuk Dr Latiff telah menubuhkan syarikat Mega P Asia Sdn Bhd yang mendapat kontrak-kontrak pertahanan laut dan beliau juga merupakan pemilik syarikat tersebut bersama dengan Zainab Mohd Salleh langsung tidak disangkal,” ujar Akmal.
Sehubungan itu, beliau menjemput para pengamal media tempatan dan antarabangsa membuat liputan khusus bagi memberitahu rakyat tiada sesiapa yang boleh terlepas daripada tindakan undang-undang.
28 Ogos 2022
KENYATAAN MEDIA
PENDEDAHAN SKANDAL KAPAL TEMPUR LCS: LAPORAN POLIS TERHADAP SEORANG MENTERI PERIKATAN NASIONAL
Umum mengetahui pendedahan yang dibuat oleh saudara Rafizi Ramli serta laporan juru audit dalaman telah menamakan YB Datuk Dr Latiff Ahmad iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri serta mantan Timbalan Menteri Pertahanan sebagai seorang yang terlibat dalam skandal kapal tempur LCS.

Namun, penafian Menteri berkenaan sehinggalah saat ini hanyalah melalui kenyataan di Facebook tanpa mengemukakan apa-apa bukti yang kukuh.
Maklumat pendedahan mengatakan bahawa YB Datuk Dr Latiff telah menubuhkan syarikat Mega P Asia Sdn Bhd yang mendapat kontrak-kontrak pertahanan laut dan beliau juga merupakan pemilik syarikat tersebut bersama dengan Zainab Mohd Salleh langsung tidak disangkal.
Malangnya, tiada kesungguhan daripada pihak kerajaan mahupun parti berkenaan walaupun desakan terbuka telah dibuat terhadap YAB Dato’ Seri Ismail Sabri, Perdana Menteri serta YB Tan Sri Muhyiddin, Pengerusi Perikatan Nasional agar mengambil tindakan yang tegas terhadap Menteri berkenaan.
Maka, saya akan membuat satu laporan polis esok bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan dibawah Kanun Keseksaan sekiranya berlaku sebarang unsur salah guna kuasa, pecah amanah mahupun rasuah.

Butirannya adalah seperti berikut:
Tarikh : Isnin, 29 Ogos 2022
Masa : 11 pagi
Tempat : IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur
Rakan-rakan pihak media dijemput hadir.
AKMAL NASIR
Ahli Parlimen Johor Bahru
Pengarah Strategi KEADILAN
