Lawatan Rasmi Presiden Erdoğan Tingkat Profil Malaysia Di Pentas Global – Abul Jais

Abul Jais Ashfaq Ahmed menyifatkan lawatan Erdoğan mampu meningkatkan profil Malaysia di pentas antarabangsa, khususnya dalam menghadapi isu-isu global yang semakin kompleks seperti krisis Gaza dan peperangan di Ukraine. Foto Arkib

KUALA LUMPUR, 10 Feb – Lawatan rasmi Presiden Recep Tayyip Erdoğan ke Malaysia bukan sekadar langkah strategik penting dalam memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara terutamanya di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, malah meningkatkan lagi imej negara di pentas global.

Mengulas lawatan berkenaan, pemerhati politik Abul Jais Ashfaq Ahmed menyifatkan lawatan ini mampu meningkatkan profil Malaysia di pentas antarabangsa, khususnya dalam menghadapi isu-isu global yang semakin kompleks seperti krisis Gaza dan peperangan di Ukraine.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta isteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail meraikan kehadiran Presiden Türkiye Recep Tayyip Erdoğan dan isteri, Emine Erdoğan menikmati pemandangan Kuala Lumpur usai majlis makan santai yang diadakan di Menara Berkembar Petronas (KLCC) pada Isnin. Foto Facebook Anwar Ibrahim

“Sebagai negara yang dikenali dengan pendekatan diplomasi yang aktif, Malaysia dapat memainkan peranan penting dalam merintis jalan untuk mencari penyelesaian kepada krisis-krisis ini melalui kerjasama dengan Turkiye yang juga lantang dengan pendekatan proaktif dalam isu-isu serantau dan antarabangsa.

“Kunjungan Presiden Erdoğan memberi ruang kepada kedua-dua pemimpin untuk berbincang mengenai pendekatan bersama dalam menyelesaikan konflik global serta memperkukuhkan kerjasama ekonomi, pelaburan dan perdagangan,” katanya.

Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir bagi menyampaikan syarahan umum di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, Putrajaya (PICC) pada Isnin. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Di bawah teraju Anwar yang juga Menteri Kewangan, Malaysia dapat memanfaatkan hubungan yang semakin rapat ini untuk menunjukkan komitmen negara terhadap keamanan dunia dan keadilan sosial.

Ini ditambah lagi dengan penglibatan kedua-dua negara yang mempunyai pengaruh dalam organisasi seperti Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) dan Kumpulan 20 (G20), lawatan ini menjadi platform untuk memperkenalkan Malaysia sebagai negara yang mampu memberi sumbangan positif dalam menangani cabaran global.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menyambut ketibaan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan dan isteri Emine Erdogan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Isnin. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Mengulas lanjut, beliau menyifatkan lawatan Presiden Erdoğan ke Malaysia tidak hanya memperkukuh hubungan bilateral, tetapi juga membuka peluang bagi Malaysia untuk memperkukuh kedudukannya dalam arena diplomatik global, terutamanya dalam isu-isu kemanusiaan dan keselamatan dunia.

Abul Jais turut mengalu-alukan pengumuman Erdoğan yang mahu meningkatkan nilai perdagangan dengan Malaysia sebanyak AS$5 bilion yang dicapai pada 2024 kepada AS$10 bilion pada tahun ini selaras dengan peningkatan kerjasama komprehensif pelbagai bidang berkepentingan bersama.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *