Laungan ‘Perpaduan’, ‘Reformasi’ Menggegar PRK DUN Sungai Bakap

Ketua Penerangan KEADILAN merangkap Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menyantuni penyokong Perpaduan hampir 1,000 orang di Pusat Penamaan Calon PRK DUN Sungai Bakap pada Sabtu. Foto X Fahmi Fadzil
NIBONG TEBAL, 22 Jun – Laungan ‘Perpaduan’ dan ‘Reformasi’ dengan paluan gendang memeriahkan suasana di kawasan penyokong calon Kerajaan Perpaduan.
Dianggarkan hampir 1,000 penyokong Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) hadir memberi sokongan kepada calon PH bagi PRK DUN Sungai Bakap, Dr Joohari Ariffin di Pusat Penamaan Calon di Dewan Serbaguna Jawi, di sini hari ini.
Penyokong kerajaan dilihat bersemangat setiap kali melaungkan kata-kata keramat itu setelah mereka berkumpul seawal jam 7 pagi tadi sekitar Pejabat Umno Bahagian Nibong Tebal dekat sini.

Joohari yang berbaju Melayu biru muda tiba di pusat penamaan jam 8.47 pagi diiringi Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan; Pengerusi DAP, Lim Guan Eng, Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; Naib Presiden KEADILAN Nurul Izzah Anwar, Ketua Penerangan KEADILAN Fahmi Fadzil serta pimpinan negeri yang lain.
Yang turut hadir Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, Ketua Wanita KEADILAN Fadhlina Sidek dan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Dr. Mohamad Abdul Hamid.

Calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail yang berbaju Melayu hijau tiba jam 8.50 pagi diiringi hampir 700 penyokong di kawasan bertentangan pintu masuk pusat penamaan calon.
PRK Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Mohd Nor pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang Ogos tahun lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon Pakatan Harapan, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

Pusat penamaan calon baru saja ditutup jam 10.00 pagi tadi sementara proses bantahan berlangsung selama sejam sebelum pengumuman calon yang sah bertanding diumumkan jam 11.00 pagi.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
