Laporan Setahun Pencapaian Ekonomi MADANI Dibentang PM Anwar Tumpuan Hari Terakhir

Reruai Kementerian Kewangan menyiarkan siaran langsung Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19 yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat. Foto Kementerian Kewangan

JOHOR BAHRU, 17 Ogos – Program MADANI Rakyat 2024 Zon Selatan yang berakhir hari ini selepas tiga hari penganjurannya, akan tertumpu pada amanat dan Laporan Setahun Ekonomi MADANI yang akan disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berdasarkan atur cara yang dikongsikan, Perdana Menteri dijangka tiba pada 2.30 petang di pentas utama Dataran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi menghadiri Majlis Perasmian Penutup dan Laporan Setahun Ekonomi MADANI.

Reruai Kementerian Kewangan antara tumpuan utama pengunjung ke Program MADANI Rakyat Zon Selatan 2024 di Dataran UTM Skudai Johor Bahru yang dirasmikan penutupan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Foto Kementerian Kewangan

Orang ramai yang hadir pada majlis tersebut akan berpeluang menonton montaj yang memaparkan Pencapaian Ekonomi MADANI, selepas setahun ia dilancarkan pada Julai tahun lepas.

Perdana Menteri kemudiannya akan menyampaikan amanat dan selepas itu dijadual menghadiri Sesi Forum dan Dialog bertajuk Setahun Pencapaian Ekonomi MADANI bersama Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Orang ramai tidak melepaskan peluang memperoleh barang keperluan menerusi Jualan Rahmah sempena Program MADANI Rakyat Zon Selatan di Dataran UTM Skudai Johor Bahru. Foto JPM

Kerangka Ekonomi MADANI dilancarkan pada 27 Julai 2023, iaitu kerangka ekonomi baharu Malaysia yang bertujuan mengangkat semula darjat dan martabat negara dengan menetapkan tujuh petunjuk prestasi utama sebagai sasaran jangka sederhana untuk dicapai dalam tempoh 10 tahun.

Pengunjung yang hadir juga juga boleh mengambil peluang untuk menyertai aktiviti luar sehingga 6 petang, seperti perkhidmatan kesihatan, pengagihan benih pokok, padanan perniagaan, zoo haiwan jinak, aktiviti menaiki kuda, pertandingan memancing, pertandingan e-sukan, pertandingan kereta kawalan jauh (RC) serta fun run lima kilometer.

Sebahagian daripada ribuan orang ramai yang hadir pada Program MADANI Rakyat Zon Selatan 2024 di Dataran UTM Skudai Johor Bahru pada Jumaat. Foto JPM

Selain berpeluang membuat cabutan bertuah di reruai kementerian, pengunjung juga boleh melihat sendiri demonstrasi kraf, persembahan kebudayaan, pameran aset kerajaan daripada empat agensi, selain 2,125 kekosongan jawatan membabitkan 21 majikan menerusi Karnival Kerjaya MyFuture Jobs.

Program MADANI Rakyat 2024 Zon Selatan itu dianjurkan Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dengan kerjasama strategik Kementerian Ekonomi dan kerajaan Johor.

Menerusi 34 reruai kementerian serta agensi kerajaan dan negeri, sebanyak 175 perkhidmatan langsung akan tersedia pada program berkenaan khusus untuk rakyat terutamanya di zon selatan yang meliputi Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *